Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JAN – Kementerian Kesihatan telah melancarkan aplikasi BruHealth versi 5.0 pada majlis pelancaran yang diadakan Central Concourse, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Guru Ugama Terlatih, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Awang Khairunnisa bin Haji Zainin. Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan diikuti dengan pelancaran dan tayangan video aplikasi BruHealth versi 5.0 dan kemudiannya diteruskan dengan menyaksikan pameran di Dewan Delima, ICC, Berakas.
Menurut Yang Berhormat Dato, antara ciri terbaharu dalam aplikasi BruHealth versi 5.0 ini termasuk Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan (PPKK) iaitu saringan kanser pangkal rahim. Saringan kanser pangkal rahim ini merupakan salah satu daripada empat PPKK yang kini boleh diakses melalui BruHealth.
Tiga program lain yang sudah tersedia ialah saringan kanser payudara, kanser kolorektal, dan penyakit kardiovaskular. Proses saringan kini boleh dilakukan secara mudah dan tepat pada masanya melalui tempahan temu janji melalui aplikasi BruHealth.
Selain itu ciri tambahan kedua ialah Indeks Kesihatan. Ciri ini adalah kini lebih peribadi dengan soal selidik yang lebih pendek dan pintar, dengan mengambil kira pemakanan, tekanan, kesihatan fizikal dan kualiti tidur – faktor utama dalam kesihatan keseluruhan.
Skor indeks kesihatan setiap individu bukan hanya sekadar angka; ia adalah pintu masuk kepada nasihat dan matlamat kesihatan yang dapat diakses dan sesuai dengan gaya hidup masing-masing.
Ciri ‘Rutin’ turut ditambah dalam aplikasi BruHealth versi 5.0. Selain senaman, orang ramai kini boleh mencatat pengambilan makanan, tempoh tidur, tahap pengambilan air yang mencukupi, dan juga ja-dual ubat semua di satu tempat dan banyak lagi. Yang Berhormat Dato turut mengimbas sejak BruHealth diperkenal sejak lima tahun lalu, di mana BruHealth menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Sewaktu pandemik COVID-19, aplikasi itu berfungsi sebagai salah satu penyelesaian utama untuk melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Brunei.
“Kita telah berhadapan dengan satu krisis yang amat luar biasa dan memerlukan jalan penyelesaian yang pantas, berkesan, dan inovatif. Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT jua, dan dengan sokongan berterusan daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam, aplikasi BruHealth telah diperkenalkan untuk membantu melindungi keselamatan dan kesejahteraan penduduk Negara Brunei Darussalam pada ketika itu. Perjalanan Transformasi Kesihatan Digital negara kita telah dipercepatkan,” ujar Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Turut hadir di majlis ini ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap di Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Sebanyak sembilan petak pameran Kementerian Kesihatan tersedia untuk dikunjungi dan berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah yang menarik.
Antara pameran dengan tema tersendiri ialah Welcome and Redemption Counter, BruHealth Support Hub 3. Interactive Games, Advanced Tech, Health Service Delivery 6. DMDTX (Balance Program), HPV Screening, Risk Assessment dan History of BruHealth, Routines, dan The Oyen Challenge.