Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    BruHealth dapat perhatian Forum Ekonomi Dunia

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Pencapaian Negara Brunei Darussalam dalam bidang kesihatan digital menerusi aplikasi BruHealth telah mendapat perhatian oleh Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum, WEF) menerusi sebuah artikel khas yang disiarkan di blog rasmi WEF, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, artikel berkenaan yang bertajuk How Brunei’s BruHealth Journey Charts The Future of Digital Health, memaparkan wawasan Kerajaan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan dalam menerajui transformasi kesihatan digital negara.

    Artikel itu mengetengahkan perjalanan Brunei dalam memperkukuh daya tahan sistem kesihatan, memperkasa individu untuk bertanggungjawab terhadap kesihatan masing-masing serta memanfaatkan data masa sebenar untuk menyokong strategi kesihatan awam.

    Artikel itu antara lain menekankan bagaimana BruHealth telah berkembang melebihi peranan asalnya semasa pandemik, menjadi tunjang utama kepada agenda transformasi kesihatan negara yang lebih meluas.

    Ia kini menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti pemantauan kesihatan peribadi, tempahan janji temu, rekod vaksinasi dan analisis kesihatan penduduk.

    Penampilan Negara Brunei Darussalam di platform WEF itu merupakan satu pencapaian penting yang mengukuhkan lagi komitmen negara terhadap inovasi dalam bidang kesihatan dan matlamat untuk membina komuniti yang lebih sihat dan berdaya tahan, selaras dengan Wawasan 2035 dan Pelan Strategik Kementerian Kesihatan.

    Artikel penuh boleh dibaca di laman rasmi World Economic Forum, https://www.weforum.org/stories/2025/07/brunei-bruhealth-digital-health.

    Majlis pelancaran BruHealth 5.0 pada Januari lalu. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda