BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Pejabat Harta Intelektual Brunei (BruIPO), Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pejabat Paten dan Tanda Dagangan Danish (DKPTO) mengenai pengurusan rujukan bagi melakukan pencarian dan pemeriksaan substantif paten.
Hadir menyaksikan majlis penandatangan di Bangunan Reka Bentuk & Teknologi, Taman Anggerek Desa itu ialah Pemangku Menteri Tenaga dan Perindustrian di JPM, Dato Seri Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar. Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Tenaga dan Perindustrian di JPM dan DKPTO.
Menandatangani bagi pihak BruIPO ialah Setiausaha Tetap (Industri) di JPM, Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah selaku pendaftar dan DKPTO diwakili oleh timbalan ketua pengarahnya, Keld Nymann Jensen.
Turut hadir Pengarah Paten DKPTO, Christina Klingenberg.
Jabatan Tenaga dan Perindustrian di JPM dalam kenyataannya menjelaskan bahawa DKPTO telah bertindak sebagai pemeriksa BruIPO sejak pelaksanaan sistem paten asli di Brunei Darussalam pada 2012 dan majlis penandatanganan berkenaan menandakan usaha kolaborasi yang berterusan di antara kedua-dua pejabat berkenaan dalam bidang paten bagi tempoh lima tahun seterusnya.


Di bawah sistem paten kini, pencarian dan pemeriksaan substantif paten diserahkan kepada pembekal luar iaitu DKPTO, Pejabat Harta Intelektual Hungary (HIPO) dan Pejabat Paten Austria (APO).
Bagi tempoh 2012 hingga 2016, BruIPO telah menerima 371 permohonan daripada pemohon luar dan dalam negara dan mengeluarkan sejumlah 42 paten.
Menurut kenyataan itu lagi, pada 2012, Kebawah Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan pelaksanaan Perintah Paten, 2011 yang bermatlamat untuk memperkenalkan sistem paten bebas yang mempertimbangkan keperluan boleh paten iaitu kebaharuan, langkah mereka cipta dan kebolehgunaan perindustrian.
Pengenalan sistem paten itu bertindak sebagai batu loncatan ke arah penubuhan pejabat harta intelektual (IP) kebangsaan Brunei Darussalam yang bertanggungjawab bagi undang-undang dan dasar IP.
Pejabat itu akhirnya ditubuhkan pada 2013 dengan objektif untuk mewujudkan dan mempromosikan ekosistem IP yang mesra perniagaan yang akan memastikan bahawa IP perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta syarikat-syarikat multinasional dilindungi.
Pada masa ini, BruIPO bertanggungjawab bagi pendaftaran paten-paten, tanda dagangan, reka bentuk perindustrian dan perlindungan pelbagai tumbuhan (PVP) serta pelaksanaan sistem pendaftaran antarabangsa di bawah Perjanjian Kerjasama Paten (PCT), Protokol Madrid (tanda dagangan) dan Sistem The Hague bagi reka bentuk perindustrian yang ditadbir oleh Pertubuhan Harta Intelektual Sedunia (WIPO).
Dengan sistem IP yang komprehensif, ia bukan hanya akan meningkatkan daya tarikan Brunei Darussalam sebagai destinasi pelaburan dan menggalakkan aktiviti keusahawanan tempatan di dalam negara, ia juga selaras dengan usaha kerajaan untuk menarik pelaburan-pelaburan langsung asing, mengukuhkan perusahaan-perusahaan tempatan serta memupuk inovasi dan kreativiti.
Maklumat lanjut mengenai pendaftaran paten boleh didapati daripada meja bantu BruIPO di Pusat Sokongan Perniagaan (BSC) yang terletak di Tingkat 1, Taman Teknologi Anggerek Desa sementara itu, borang dan jadual pembayaran boleh dimuat turun daripada laman sesawang BruIPO di www.bruipo.gov.bn. Sebarang pertanyaan mengenai prosedur pendaftaran boleh dihantar menerusi e-mel enquiries@bruipo.gov.bn atau dengan menghubungi talian 223 0965/223 0966.