Thursday, October 17, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei aktif perangi pemerdagangan manusia

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT- Delegasi Negara Brunei Darussalam telah menghadiri mesyuarat 2nd Manila Dialogue: Regional Meeting of Southest Asian Inter-Agency Counter-Trafficking Committees (IACAT) yang telah berlangsung di Manila, Republik Filipina pada 15 hingga 16 Oktober lepas.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri, di sini, delegasi berkenaan telah diketuai oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang), Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan bagi Anti-Pemerdagangan Orang (JKAPO), Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad dan disertai oleh pegawai-pegawai kanan daripada Jabatan Perdana Menteri, Pasukan Polis Diraja Brunei selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja bagi Anti-Pemerdagangan Orang serta Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

    Mesyuarat berkenaan merupakan inisiatif di antara IACAT dan Kedutaan Besar Netherlands di Republik Filipina sempena memperingati Ulang Tahun Ke-10 Dialog Antarabangsa Manila Mengenai Pemerdagangan Manusia yang mana ia mengkhususkan kepada jawatankuasa-jawatankuasa kebangsaan yang bertanggungjawab terhadap isu-isu pemerdagangan manusia (Trafficking in Persons, TIP) di negara-negara ASEAN.

    Pada mesyuarat kali ini, negara-negara ASEAN telah bertukar-tukar pandangan dan maklumat mengenai perkembangan terkini dan cabaran-cabaran yang dihadapi khususnya menangani TIP dengan jenayah kekerasan atau forced criminality.

    Semasa mesyuarat berkenaan, Awang Zulhusam telah menegaskan bahawa pendekatan negara dalam memerangi jenayah TIP adalah berpandukan kepada prinsip Maqasid Syariah yang mana mengutamakan pemeliharaan nyawa sebagai salah satu prinsip utamanya.

    Selain itu, pendekatan Kerajaan melalui pendekatan seluruh kerajaan (whole of government) yang bersistematik adalah untuk memastikan supaya semua penduduk negara ini terpelihara daripada ancaman jenayah berkenaan.

    Awang Zulhusam turut mengongsikan perkembangan terkini mengenai situasi jenayah TIP dan cabaran-cabaran serta usaha-usaha dalam membanteras dan menangani kegiatan-kegiatan jenayah TIP di Negara Brunei Darussalam.  Antara lain, beliau telah menekankan walaupun kedudukan negara telah diturunkan dari Tier 2 Watch List kepada Tier 3 di dalam US TIP Report 2024, Negara Brunei Darussalam akan terus komited dalam memperkukuhkan lagi usaha-usaha menangani jenayah TIP dan akan terus mempelajari amalan-amalan terbaik daripada negara-negara jiran yang berada di dalam Tier 1 dan Tier 2.

    JKAPO yang telah ditubuhkan pada Januari 2020, telah memperoleh beberapa pencapaian dalam usaha memerangi jenayah berkenaan seperti mempertingkatkan lagi usaha-usaha agensi-agensi penguatkuasaan dan undang-undang, menilai semula perundangan, menubuhkan strategi nasional dan pembangunan kapasiti. Kini JKAPO sedang dalam proses memuktamadkan Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai TIP yang memfokuskan kepada konteks tempatan.

    Selain itu, Taskforce Program Kesedaran Awam mengenai Anti-Pemerdagangan Orang telah melaksanakan pelbagai program kesedaran di kedutaan-kedutaan negara seperti Kedutaan Republik Filipina, Kedutaan Diraja Thailand, Kedutaan Republik Demokratik Timor-Leste dan Suruhanjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh.

    Tujuan utama program berkenaan adalah untuk memberikan kesedaran orang ramai tentang undang-undang berkaitan dengan imigresen, pasport, pemerdagangan dan penyeludupan orang serta hak pekerja.

    Awang Zulhusam turut mengongsikan bahawa agensi-agensi penguatkuasaan telah meningkatkan bilangan operasi saringan sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk mencegah aktiviti-aktiviti TIP terutamanya dalam kalangan pekerja asing.

    Daripada operasi saringan berkenaan, 36 kes setakat ini telah dirujuk untuk penilaian oleh Pasukan Penilaian TIP pada tahun ini. Siasatan dan penilaian yang dilakukan oleh pasukan tersebut telah menghasilkan pendakwaan terhadap dua kes pemerdagangan orang pada 2012 dan 2016 serta satu kes pemerdagangan buruh yang ketika ini sedang dalam perbicaraan.

    Gambar serahan Jabatan Perdana Menteri

    Awang Zulhusam semasa menyampaikan perkongsian.
    Sesi bergambar ramai dalam mesyuarat berkenaan. – GAMBAR- GAMBAR SERAHAN JABATAN PERDANA MENTERI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda