Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Negara Brunei Darussalam secara aktif telah menyelaraskan dengan pembangunan digital dalam ASEAN yang menunjukkan komitmen untuk menerima pakai dan memanfaatkan kuasa transformasi digital dan inovasi.
“Kami mengenali pentingnya untuk berada di barisan hadapan kemajuan teknologi untuk memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan perkhidmatan awam dan memperbaiki kualiti kehidupan warganya secara keseluruhan.”
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha ketika berucap pada perasmian Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri ASEAN bagi Sains, Teknologi dan Inovasi ke-12 (IAMMSTI-12) dan Pameran dan Persidangan Masa Depan Digital yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.
Dalam hubungan itu, beberapa inisiatif untuk mempromosikan penggunaan teknologi baharu muncul dan menjana persekitaran yang membolehkan bagi inovasi untuk berkembang telah dilaksanakan oleh kerajaan dengan kerjasama pelbagai pihak yang berkepentingan dan sektor swasta melalui pendekatan seluruh negara di bawah Pelan Induk Ekonomi Digital, tambahnya lagi selaku Pengerusi IAMMSTI-12 dan Pengerusi Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI).
Antara inisiatif berkenaan adalah Ekosistem Syarikat Pemula dan Inovasi Digital di mana menerusi peruntukan sokongan inkubator, mentor dan ruang kerja bersama ia dapat memudahkan pertumbuhan syarikat pemula dan inovasi digital.
Makmal Inovasi Brunei (BIL), jelas Yang Berhormat Pengiran Dato, merupakan sebuah inisiatif diterajui industri yang ditubuhkan pada 2022 telah menyediakan laluan bagi pertumbuhan usaha teknologi dan juara digital.
Pembayaran digital pula menggalakkan penggunaan penyelesaian pembayaran digital dan mempromosikan sebuah masyarakat tanpa wang tunai dengan syarikat-syarikat teknologi kewangan (fintech) dan bank-bank tempatan telah memperkenalkan penyelesaian pembayaran inovatif termasuk dompet mudah alih yang membolehkan pengguna membuat transaksi menggunakan telefon pintar mereka.
“Kita telah meletakkan asas bagi menubuhkan sebuah konsortium bank-bank tempatan untuk membina sebuah hab pembayaran digital yang membolehkan sambungan lancar kepada landasan pembayaran antarabangsa,” ujarnya.