BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – Negara Brunei Darussalam mengambil pendirian mengekalkan kerjasama dua hala dan pelbagai hala yang kerap dengan rakan-rakan serantau dalam menangani ancaman para pejuang pengganas asing (FTF) dan pengganasan rentas sempadan (CBT).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar berkata, Brunei juga melaksanakan pelbagai pendekatan dalam menangani ancaman pengganasan termasuklah keseluruhan pendekatan kerajaan dan mengukuhkan rangka undang-undang serta meningkatkan kerjasama dengan agensi-agensi keselamatan serantau terutamanya perkongsian maklumat.
Selain itu, Brunei turut menyesuaikan strategi-strategi pencegahan pengganasan dalam mencegah dan menghalang penyebaran ideologi radikal dan propaganda ke dalam negara, katanya semasa mengongsikan pengalaman Brunei pada Mesyuarat Sub-Regional berhubung Para Pejuang Pengganas Asing (FTF) dan Pengganasan Rentas Sempadan (CBT): Meningkatkan Respons Domestik dan Bersama yang berlangsung di Manado, Indonesia baru-baru ini.
Delegasi Brunei Darussalam turut disertai para pegawai kanan dari JPM dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.
Menurut Dato Seri Paduka Haji Hamdan, Brunei juga sedar akan kepentingan untuk terlibat dengan masyarakat tempatan berkaitan dan pihak-pihak bukan kerajaan dalam membentuk strategi-strategi.


Katanya, usaha juga dibuat bagi memperkasa belia, keluarga, wanita, agama, budaya dan pemimpin pendidikan dan semua kumpulan masyarakat awam berkaitan dan mengembangkan penyertaan dan kepaduan sosial dan falsafah Melayu Islam Beraja yang menjadi teras perpaduan negara untuk memastikan keharmonian, keselamatan, kestabilan dan kesejahteraan negara dan rakyat Brunei Darussalam.
Mesyuarat dua hari itu dihoskan bersama oleh Menteri Penyelarasan bagi Hal Ehwal Politik, Undang-undang dan Keselamatan Republik Indonesia, Jeneral Wiranto dan Peguam Negara Australia, Senator George Brandis CQ.
Mesyuarat tersebut yang turut dihadiri oleh para menteri, ketua delegasi dan para pegawai kanan dari Malaysia, New Zealand dan Republik Filipina membincangkan tiga isi utama iaitu: keadaan semasa dan perkembangan munasabah FTF dan CBT di rantau itu; strategi-strategi domestik dan serantau untuk menentang keganasan ekstremisme (CVE) dan deradicalisation; dan kerangka undang-undang yang mana Brunei Darussalam mengetuai rundingan bagi dua dari isu-isu utama mesyuarat.
Susulan daripada perbincangan mendalam serta perkongsian pengalaman, mesyuarat tersebut mengeluarkan kenyataan bersama yang antaranya untuk memberi respons secara bersama dalam cara yang diselaraskan, strategik dan meneruskan di semua peringkat kerajaan bersama pihak berperanan persendirian dan masyarakat awam.
Mesyuarat juga bersetuju untuk melaksanakan dialog penguatkuasaan undang-undang berhubung isu ISIS; membentuk Forum Strategik Para Pejuang Pengganas Asing; menekankan kepentingan respons menyeluruh keseluruhan kerajaan dan perkembangan rancangan tindakan kebangsaan dan meningkatkan usaha dan kerjasama dalam menangani punca-punca dan keadaan yang mendasari pengganasan.
Para menteri juga bersetuju untuk mengadakan rundingan meja bulat mengenai amal terbaik sub-regional berhubung pengurusan para pesalah pengganas dalam penjara dan selepas pembebasan; meningkatkan kerjasama dengan pertubuhan masyarakat awam dan kumpulan masyarakat lain.
Mereka juga bersetuju untuk melibatkan Forum Internet Sejagat yang diterajui industri kepada Usaha Cegah Pengganasan; melaksanakan kajian perbandingan dan membina kapasiti dalam kalangan unit-unit perisikan kewangan; mengadakan Mesyuarat Sub-Regional akan datang berhubung FTF dan CBT pada tahun 2018 dan penubuhan kumpulan kerja para pegawai kanan.