Oleh Sim Y. H.-
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Negara Brunei Darussalam seperti negara-negara lain di rantau ini, sedang mengalami keadaan El Nino pada masa ini, dengan suhu permukaan laut (SST) di kawasan tengah dan timur Lautan Pasifik dikesan lebih panas daripada tahap purata.
Kebanyakan model iklim antarabangsa bersependapat bahawa pemanasan suhu permukaan laut akan berterusan berlaku dan intensiti El Nino diramalkan meningkat dalam beberapa bulan akan datang serta dijangka berterusan sehingga awal 2024.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), di sini, cuaca panas melampau (EHW) atau biasa dikenali sebagai kejadian gelombang haba di Brunei cenderung berlaku semasa episod El Nino.
EHW berlaku apabila suhu maksimum harian merekodkan sekurang-kurangnya 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut. Kejadian EHW terakhir yang berlaku di negara ini adalah semasa episod El Nino pada 28 hingga 30 September 2019.
Jabatan berkenaan menerangkan bahawa El Nino juga dikenali sebagai fasa panas daripada kitaran El Nino Southern Oscillation (ENSO). Keadaan ENSO dipantau melalui penganalisis suhu permukaan laut, angin di paras rendah atmosfera, keadaan pembentukan awan dan suhu bawah permukaan di kawasan pemantauan Lautan Pasifik.
Fenomena itu berlaku setiap tiga hingga tujuh tahun secara purata dan cenderung memuncak semasa musim sejuk hemisfera utara iaitu Disember hingga Februari.
Semasa episod El Nino, gangguan sementara terhadap corak cuaca tempatan dijangka berlaku di seluruh dunia, termasuk Brunei. Kesan El Nino kepada negara, lazimnya termasuk aktiviti turunan hujan yang berkurangan dengan peningkatan suhu udara dan kelembapan relatif yang rendah.
Keadaan cuaca lebih kering dan panas dijangka berlaku terutama semasa kemuncak episod El Nino dengan berkemungkinan suhu harian maksimum mencecah 34 darjah Celsius atau lebih pada waktu petang.
Mengambil kira berlakunya keadaan El Nino pada masa ini, BDMD menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan perkembangan cuaca terkini dan mengambil sebarang langkah berjaga-jaga, keselamatan serta mematuhi mana-mana garis panduan yang diberikan oleh pihak-pihak berkenaan berhubungan dengan keadaan cuaca yang dijangkalebih kering dan panas dalam bulan-bulan yang akan datang.
BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.