Saturday, February 8, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei alami keadaan jerebu tahap rendah

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Negara Brunei Darussalam dijangka akan terus mengalami keadaan berjerebu di tahap rendah untuk beberapa minggu akan datang disebabkan kurangnya aktiviti dan jumlah turunan hujan setempat.

    Pada masa yang sama, permukaan suhu udara dijangka lebih panas berbanding biasa di mana suhu maksimum dijangka antara 33 darjah Celsius ke 35 darjah Celsius.

    Perkara itu dinyatakan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam kenyataannya yang dikeluarkan di sini hari ini.

    Walau bagaimanapun, tambah BDMD, keadaan cuaca aktif diramalkan berlaku bermula hari ini hingga 5 Ogos disebabkan pengaruh secara tidak langsung sistem Taufan Khanun yang pada pukul 9 pagi tadi, dikesan kira-kira 12,500 kilometer (km) jauh dari Negara Brunei Darussalam.

    Hujan lebat dan berpetir sekali-sekala dijangka menjejaskan kebanyakan kawasan negara dengan hujan badai juga dijangka berlaku dari semasa ke semasa. Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45km sejam semasa atau dekat hujan lebat dan berpetir.

    Gambar menunjukkan keadaan sedikit berjerebu di perairan Sungai Brunei. – Gambar serahan BDMD
    Gambar serahan BDMD

    Manakala itu, di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit dengan ketinggian ombak antara 0.4 dan 0.8 meter serta dijangka meningkat ke paras sederhana sehingga 1.5 meter pada Khamis dan Jumaat terutama di kawasan lepas pantai.

    Jabatan itu menyatakan bahawa negara pada masa ini masih berada dalam monsun barat daya di mana angin barat daya adalah dominan dengan keadaan atmosfera yang stabil.

    Brunei juga telah mengalami keadaan sedikit berjerebu sejak 25 Julai hingga hari ini di mana keadaan itu disebabkan jerebu rentas sempadan yang berasal dari negara-negara jiran yang ditiup oleh angin barat daya ke Negara Brunei Darussalam.

    Stesen Pencerapan Kajicuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah merekodkan penurunan jarak penglihatan mendatar antara 7km hingga 9km.

    BDMD seterusnya menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku dengan terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

    Orang ramai khususnya pemandu di jalan raya dan para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Jabatan itu akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Jabatan berkenaan menyatakan lagi bahawa maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi Brunei WX, kerana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

    Maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook dan Instagram (@bruneiweather).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda