Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei alami monsun barat daya hingga September

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada dalam monsun barat daya, yang pada lazimnya akan berterusan sehingga bulan September.

    Sehubungan itu, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, semasa monsun barat daya, keadaan atmosfera di negara ini pada kebiasaannya agak stabil dengan kejadian ribut petir berkurangan berbanding semasa monsun peralihan.

    Keadaan angin secara amnya akan bertiup dari arah barat daya dalam tempoh ini, dan pada pukul 11 pagi waktu tempatan hari ini, Ribut Tropika Yagi telah dikesan di kawasan berdekatan utara Filipina, iaitu sekitar 1,400km jauh dari Negara Brunei Darussalam, dan diramalkan bergerak ke arah barat laut menjauhi negara ini.

    BDMD turut mengongsikan di mana Ribut Tropika Yagi dijangka akan mempengaruhi keadaan cuaca di negara ini secara tidak langsung di mana keadaan sedikit berangin dijangka berlaku pada beberapa hari akan datang, dengan hujan atau hujan berpetir berlaku terutama di kawasan laut.

    Kelajuan angin dijangka meningkat sehingga 50kmsj semasa atau dekat hujan lebat berpetir, manakala di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit hingga sederhana, dengan ketinggian ombak 0.7-1.2m.

    BDMD turut menasihatkan kepada orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Keadaan laut adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil semasa keadaan hujan berangin kencang.

    Orang ramai, pemandu di jalan raya dan juga pelaut juga dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit Brunei WX, atau dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook @bruneiweather, Instagram @brunei.weather dan saluran Telegram, Brunei Weather.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda