Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei anjur persidangan kebangsaan OKU pertama

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Usaha ke arah masyarakat inklusif terus diperhebat apabila Negara Brunei Darussalam melakar sejarah dengan menganjurkan Persidangan Kebangsaan Pertama bagi Orang Kelainan Upaya (OKU) di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas pagi tadi.

    Penganjuran persidangan tersebut disifatkan sebagai detik penting dalam pengiktirafan hak, suara dan sumbangan golongan berkeperluan khas di negara ini.

    Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi hadir selaku tetamu kehormat.

    Dalam ucapan perasmiannya, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Nazmi bin Haji Mohamad menekankan bahawa persidangan tersebut menandakan babak baharu dalam perjuangan hak OKU dengan menyediakan satu ruang untuk dialog dan tindakan bergabung secara inklusif bukan sekadar janji, tetapi satu tekad yang dilaksanakan bersama.

    Beliau turut mengalu-alukan penganugerahan pengiktirafan pertama seumpamanya kepada individu OKU cemerlang dan mereka yang berkhidmat dalam komuniti tersebut, sebagai satu bentuk penghormatan terhadap ketabahan, kecemerlangan dan sumbangan mereka. “Anugerah ini bukan sekadar penghargaan ia adalah simbol peralihan budaya daripada simpati kepada pengiktirafan sebenar terhadap keupayaan,” tegas beliau.

    Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi menyampaikan ucapan.

    Menyentuh mengenai dengan Perlindungan Undang-undang dan Kebajikan, kerajaan telah memperkenalkan Perintah Orang Kurang Upaya 2021 yang menggariskan perlindungan menyeluruh terhadap diskriminasi dan penderaan serta menetapkan penubuhan Daftar Kebangsaan OKU, yang kini merekodkan 2,724 individu setakat April 2025.

    Selain itu, pindaan kepada Akta Pencen Umur Tua dan Cacat kini membolehkan OKU menerima bantuan tanpa perlu membuktikan ketidakupayaan bekerja. Seramai 7,016 penerima faedah OKU direkodkan setakat tahun ini, termasuk 1,011 penerima berganda yang juga menerima pencen umur tua.

    Upacara perasmian persidangan berkenaan oleh tetamu kehormat.

    Yang Berhormat Dato juga memaklumkan bahawa kerajaan kini menyediakan Elaun Penjaga sebanyak $250 sebulan, sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting yang dimainkan oleh penjaga OKU yang kebanyakannya terdiri daripada ahli keluarga.

    Dalam bidang pendidikan, Rangka Kerja Pendidikan Khas 2023 yang berpaksikan prinsip Access, Participate, Achieve telah dilancarkan dan disokong dengan 5A: Aksesibiliti, Kurikulum Adaptif, Pengajaran Adaptif, Penilaian Adaptif dan Penerimaan.

    Bagi memperkukuh sokongan, kerajaan turut memperkenalkan Elaun Pendidikan Khas kepada institusi dan sekolah berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan pada tahun 2024. Malah, peluang biasiswa turut dibuka kepada OKU termasuk dalam bidang khusus seperti pengajian Tahfiz.

    Pameran dan Forum Sumber Pendidikan Khas yang pertama juga telah dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Pendidikan dan Projek IMPIAN, menyediakan maklumat holistik mengenai laluan pendidikan, latihan kemahiran dan perkhidmatan sokongan.

    Menyentuh tentang aspek ekonomi, Yang Berhormat Dato menegaskan bahawa penyertaan OKU dalam pasaran pekerjaan adalah kunci kepada kemerdekaan dan maruah diri. Antara inisiatif terkini termasuk Program Jelajah Kerjaya anjuran JobCentre Brunei 2024 yang menawarkan lebih 100 peluang pekerjaan mesra OKU.

    Beliau turut menyeru agar semua sektor termasuk awam, swasta dan akar umbi yang membuka lebih banyak ruang dan latihan untuk memastikan pengambilan pekerja OKU menjadi norma dan bukan lagi satu pengecualian. Agensi seperti JAPEM, JPD, TAP dan JKR dipuji atas peranan aktif mereka dalam usaha ini.

    Sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang, kerajaan terus menyokong program seperti latihan vokasional inklusif, usaha sosial keusahawanan, dan projek komuniti yang dibiayai melalui Tabung Orang Kelainan Upaya (TOKU).

    Beliau turut menekankan bahawa perubahan sebenar memerlukan bukan hanya dasar, tetapi juga penerimaan masyarakat. “Kerja kita tidak terhenti pada elaun atau pameran kerja. Ia tentang mengubah sistem, minda dan hati,” ujarnya.

    Kesimpulannya, persidangan berkenaan menurut beliau, adalah gabungan semangat, kepakaran dan pengalaman sebenar. Ia menyatukan pembuat dasar, pendidik, majikan dan, yang paling penting, OKU sendiri untuk membentuk masa depan yang benar-benar inklusif.

    “Kita bukan mencari simpati. Kita menuntut kesaksamaan. Setiap insan tanpa mengira perbezaan yang berhak untuk hidup bermaruah, mengejar peluang, dan menyumbang kepada masyarakat sepenuhnya,” ujar beliau mengakhiri ucapannya.

    Atas & Bawah: Antara yang menerima anugerah semasa persidangan berkenaan.

    Antara acara sempena persidangan berkenaan. 
    Sesi bergambar ramai semasa persidangan berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda