Sunday, June 30, 2024
22.6 C
Brunei

    -

    Brunei, Arab Saudi meterai MoU

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, baru-baru ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) baharu bersama kerajaan Arab Saudi di Riyadh, Arab Saudi.

    MoU tersebut antara lain bertujuan bagi mengemaskinikan Hak-hak Kebebasan Trafik Udara yang sebelum ini dimeterai di dalam Perjanjian Perkhidmatan Udara yang ditandatangani pada tahun 1992 serta MoU Sulit yang ditandatangani pada tahun 2009.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), hari ini, turut menjelaskan bahawa MoU yang ditandatangani itu memeterai perkara-perkara seperti mendapatkan hak kebebasan trafik ketiga, keempat dan kelima tanpa had pada kapasiti dan kekerapan penerbangan bagi perkhidmatan penerbangan penumpang dan kargo.

    Dengan adanya MoU tersebut, ia membolehkan syarikat penerbangan di negara ini, termasuk Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) melaksanakan penerbangan ke mana-mana destinasi antarabangsa di Arab Saudi termasuk Madinah melalui perkhidmatan berjadual biasa.

    Penandatanganan MoU tersebut telah berlangsung semasa Forum Penerbangan Masa Depan Edisi Ketiga (FAF2024) yang telah diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa Raja Abdul Aziz (KAICC), Riyadh, Arab Saudi dari 20 Mei hingga hari ini.

    FAF2024 itu telah dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan dan Perkhidmatan Logistik Arab Saudi yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam (GACA), Tuan Yang Terutama Eng Saleh bin Nasser Al Jasser.

    Turut hadir menyaksikan penandatanganan MoU tersebut bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Haji Harun bin Haji Junid.

    Menandatangani bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Setiausaha Tetap di MTIC, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, manakala bagi pihak Kerajaan Arab Saudi ialah Presiden GACA, Tuan Yang Terutama Abdulaziz bin Abdullah Al-Duailej.

    Forum tiga hari itu telah menumpukan perbincangan kepada perkara-perkara penting untuk masa hadapan industri penerbangan, iaitu isu kemampanan, inovasi dan teknologi; memperluaskan peluang perniagaan; dan pelaburan modal insan.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bergambar ramai sejurus selesai penandatanganan MoU. – GAMBAR SERAHAN MTIC
    Ir Haji Mohammad Nazri mewakili negara semasa menandatangani MoU manakala TYT Abdulaziz mewakili pihak kerajaan Arab Saudi. – GAMBAR SERAHAN MTIC

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China keluarkan amaran merah susulan hujan lebat

    BEIJING, 30 JUN - China telah mengeluarkan amaran tahap merah berikutan hujan lebat yang melanda negara itu, kelmarin. Ia juga memberi amaran tentang kemungkinan bencana...