Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei, Arab Saudi meterai MoU dalam bidang belia dan sukan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Arab Saudi telah mengukuhkan hubungan dua hala melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Sukan Kerajaan Arab Saudi mengenai kerjasama dalam bidang Belia dan Sukan.

    MoU tersebut telah ditandatangani oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Menteri Sukan Kerajaan Arab Saudi, His Royal Highness Prince Abdulaziz bin Turki Al-Faisal Al-Saudi.

    Penandatangan MoU itu diadakan sempena Majlis Pembukaan Rasmi Edisi Ke-6 Sukan Solidariti Islam 2025 telah berlangsung di Riyadh, Kerajaan Arab Saudi, baru-baru ini.

    Gambar atas & bawah, YB Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi dan His Royal Highness Prince Abdulaziz meterai MoU mengenai kerjasama dalam bidang Belia dan Sukan.

    Hadir bagi pembukaan sukan berkenaan, Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi, dan Menteri Sukan Kerajaan Arab Saudi, His Royal Highness Prince Abdulaziz.

    Dalam perbincangan dua hala selepas penandatanganan tersebut, kedua-dua menteri menyatakan harapan untuk terus mempertingkatkan kerjasama dalam pembangunan belia dan sukan antara kedua-dua negara termasuk dalam bidang latihan, program pembinaan keupayaan serta inisiatif pertukaran belia.

    GAMBAR SERAHAN KKBS

    Acara sukan berprestij berkenaan itu menghimpunkan ribuan atlet dari negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dengan matlamat memupuk perpaduan, mengukuhkan persahabatan serta meningkatkan kecemerlangan sukan dalam kalangan negara-negara Islam.

    Turut hadir di majlis penandatangan tersebut, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Awang Haji Harun bin Haji Junid, dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Negara Brunei Darussalam menyertai tiga acara sukan iaitu Fencing, Karate dan Angkat Berat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda