Wednesday, January 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei, Arab Saudi meterai perjanjian pengurusan Haji

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JAN – Perjanjian Persefahaman Pengurusan Haji bagi Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam Tahun 1446H/2025M telah dimeterai di Jeddah Arab Saudi kelmarin.

    Hadir menandatangani bagi pihak Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Haji dan Umrah, Arab Saudi bagi pihak Kerajaan Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Dr Taufig Fauzan Ar Rabi’ah.

    Antara kandungan memorandum perjanjian tersebut ialah persetujuan perkara dasar dalam pengurusan Haji. Manakala perundingan selanjutnya akan diteruskan di peringkat pegawai kanan pada hari berikutnya.

    Terdahulu, Majlis Perjumpaan Dua Hala antara kedua-dua negara telah diadakan di Hotel The Ritz Carlton, Jeddah bagi membincangkan pengurusan Haji bagi jemaah Haji dari Negara Brunei Darussalam.

    Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Haji Harun bin Haji Junid.

    Dalam perjumpaan tersebut, Menteri Haji dan Umrah, Arab Saudi menyatakan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi serta Kerajaan Arab Saudi dalam mengemas kini dan menambah baik hal ehwal pengurusan Haji melalui sistem Haji secara atas talian yang diperkenalkan agar pengurusan Haji dapat dikendalikan dengan lebih sistematik dan teratur.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dalam perjumpaan berkenaan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Kerajaan Arab Saudi atas pengurusan dan perkhidmatan yang cemerlang serta layanan baik yang diberikan kepada Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam pada musim Haji tahun lalu dan berharap ianya akan kekal berterusan bagi musim Haji yang akan datang.

    Selain perjumpaan dua hala dan menandatangani perjanjian persefahaman pengurusan Haji, kedatangan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama berserta rombongan ke Arab Saudi adalah atas jemputan Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi bagi menghadiri Persidangan dan Pameran Haji ke-4 yang diadakan di Superdome, Jeddah, Arab Saudi bermula pada 13 Januari hingga 16 Januari.

    Atas & Bawah: YB Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa dalam pertemuan dan menandatangani perjanjian berkenaan.
    GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KHEU

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda