Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei, Arab Saudi meterai Perjanjian Pengurusan Haji

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Kesinambungan hasil Mesyuarat Pengurusan Hal Ehwal Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji Tahun 1447H/2026M yang diadakan dalam talian diteruskan dengan pemeteraian Perjanjian Pengurusan Haji bagi Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam Tahun 1447H/2026M yang berlangsung di Hotel Assila, Jeddah, kelmarin.

    Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku wakil Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Abdul Fattah bin Sulaiman Mashat.

    Gambar-gambar suasana sekitar pemeteraian Perjanjian Pengurusan Haji bagi Jemaah Haji Negara bagi tahun 2026. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KHEU

    Sebelum majlis penandatanganan itu, perjumpaan dua hala telah diadakan bagi membincangkan hal ehwal pengurusan jemaah haji Negara Brunei Darussalam bagi musim haji tahun 1447H/2026M, dan ini termasuk aspek pentadbiran, kemudahan dan penyelarasan bagi memastikan perjalanan ibadah haji berjalan dengan lancar.

    Turut hadir pada majlis tersebut, Duta Besar Luar Biasa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Haji Harun bin Haji Junid, Pemangku Konsul Agung Negara Brunei Darussalam di Jeddah, serta rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang turut menghadiri 5th Edition of the Hajj Conference and Exhibition di Arab Saudi.

    Selain majlis penandatanganan dan pertemuan dua hala, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan bersama rombongan juga akan menghadiri Majlis Perasmian 5th Edition of the Hajj Conference and Exhibition yang dijangka berlangsung pada 9 November 2025, di samping menghadiri beberapa aturcara rasmi lain sepanjang keberadaan mereka di Arab Saudi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda