Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Majlis Olimpik Asia (OCA), dengan kerjasama Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNOC), mengumumkan penganjuran Fun Run untuk Sukan Asia ke-20 Aichi-Nagoya 2026.
Fun Run itu bertujuan mempromosikan bukan sahaja negara tuan rumah tetapi juga membina semangat komuniti dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan peserta.
Acara akan bermula pada pukul 5 petang pada 15 April, di The Empire Brunei sejurus selepas tamatnya Seminar Kesaksamaan Jantina OCA yang ke-2 Brunei Darussalam dan sesi pemanasan sebelum acara larian.
Larian itu disertai 500 orang peserta termasuk kanak-kanak sekolah, persatuan sukan kebangsaan, majlis sukan dan delegasi antarabangsa yang menghadiri seminar tersebut.
Antara kategori larian termasuk 2.8km terbuka lelaki , 2.8km perempuan, 1.4km Fun Run Lelaki B12, 1.4km Fun Run Perempuan B12, 1.4km Fun Run Orang Kelainan Upaya, 1.4km Fun Run Lelaki Veteran, 1.4km Fun Run Perempuan Veteran dan 1.4km Fun Run Delegasi Seminar.
Semua peserta akan menerima sijil penyertaan, di samping pingat akan diberikan kepada 10 penamat terbaik dalam setiap kategori.
Penyampaian pingat akan disampaikan oleh ahli eksekutif Majlis Olimpik Asia (OCA), menambahkan prestij kepada acara yang berfokuskan komuniti berkenaan.
Larian santai ini akan berfungsi sebagai pendahulu yang penting kepada Sukan Asia dan menekankan komitmen Brunei Darussalam dalam mempromosikan sukan dan inklusiviti dalam komuniti.
