Sunday, July 13, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei bakal anjur Persidangan Kebangsaan Pertama OKU

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Negara Brunei Darussalam akan menganjurkan Persidangan Kebangsaan Pertama bagi Orang Kelainan Upaya (PKP-OKU) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pada 10 dan 11 Jun.

    Persidangan berkenaan akan menghimpunkan pihak berkepentingan utama untuk menangani keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh OKU di Negara Brunei Darussalam.

    Persidangan itu dianjurkan bersama oleh Majlis Kebangsaan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), Majlis Belia Brunei (MBB) dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bersempena Pameran dan Persidangan Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2025.

    Menurut data 2024, terdapat kira-kira 10,000 OKU di Brunei dengan hampir 30 peratus daripada mereka pada usia sekolah iaitu lima hingga 17 tahun. Namun begitu, akses kepada pendidikan, pekerjaan dan infrastruktur mencukupi masih merupakan halangan signifikan bagi mereka untuk terlibat sepenuhnya dalam masyarakat.

    Persidangan itu bermatlamat untuk menjadi titik perubahan bagi pembangunan inklusif, menangani cabaran seperti kurangnya jumlah guru-guru Special Education Needs Assistance (SENA), aksesibiliti infrastruktur tidak seimbang dan kadar pekerjaan yang rendah bagi OKU di mana hanya 56 orang direkodkan sebagai bekerja pada 2018.

    Acara itu juga akan menjadi sebuah platform bagi perkongsian ilmu pengetahuan, mengetengahkan amalan terbaik, dialog dasar dan cadangan bermakna bagi meningkatkan rangka kerja kebangsaan dan perkhidmatan bagi OKU.

    Persidangan itu bertujuan untuk menyokong keluarga mengemudi hala tuju pekerjaan dan pendidikan inklusif bagi kanak-kanak yang mempunyai kebolehan berbeza, meningkatkan kesedaran Pendaftaran Kebangsaan Orang Kelainan Upaya (PKOKU), menyediakan peluang bagi pembelajaran ibu bapa dan penjaga menerusi taklimat dan perbincangan pakar, menawarkan khidmat kaunseling bagi keluarga dan penjaga, meraikan bakat dan kreativiti OKU menerusi pameran dan produk yang ditonjolkan.

    Persidangan itu dijangka akan disertai oleh lebih 250 orang peserta termasuk penggubal dasar dan pegawai kerajaan, profesional sumber manusia daripada sektor swasta, ibu bapa, penjaga dan pendidik, pemilik perniagaan, perusahaan sosial serta organisasi bukan kerajaan yang berkhidmat dengan OKU.

    Dengan memupuk kolaborasi di seluruh sektor, PKP-OKU akan memangkin usaha untuk menjadikan Brunei sebuah negara yang lebih inklusif dan saksama untuk semua.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda