Friday, February 7, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei bakal berdepan Indonesia di Kelayakan Piala Dunia

    Oleh Fadhil Yunus – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Brunei Darussalam akan beraksi dalam saingan dua pusingan bertemu Indonesia dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 Pusingan Pertama Persatuan Bola sepak Asia (AFC) pada bulan Oktober tahun ini.

    Pasukan Brunei akan memulakan pusingan pertama di Gelora Bung Karno, Jakarta pada 12 Oktober sebelum berentap lagi dalam pusingan kedua di laman sendiri pada 17 Oktober.

    Pemenang pertandingan kelayakan akan meneruskan pusingan kedua dalam Kumpulan F bersama Iraq, Vietnam dan Filipina.

    Pengumuman itu telah dikongsi oleh Pengurus Pasukan Kebangsaan Brunei Darussalam, Pengiran Haji Mohd Waslimin bin Pengiran Setia Jaya Pengiran Haji Abdul Momin semasa sidang media pasukan bola sepak kebangsaan Brunei di Rumah Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) semalam.

    Setiausaha Agung FABD, Awang Mohd Shahnon bin Haji Mohd Salleh turut menambah, “Bagi jendela FIFA pada September 2023, Brunei Darussalam telah bersetuju untuk mengadakan dua perlawanan persahabatan Tier 1.

    Pengiran Haji Mohd Waslimin semasa berucap pada sidang media pasukan bola sepak kebangsaan Brunei di Rumah Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) baru-baru ini.

    Bagi menyahut cabaran kelayakan yang akan datang, pasukan Brunei Darussalam dijangka berentap dalam dua perlawanan persahabatan dengan Timor Leste pada 6 September dan juga akan mengadakan lawatan ke Hong Kong pada 11 September nanti.

    Di samping itu, pasukan futsal kebangsaan akan turut bersaing dalam Kelayakan Piala Asia Futsal Persatuan Bolasepak Asia (AFC) yang akan berlangsung di Manama, Bahrain.

    Brunei telah ditempatkan dalam Kumpulan F bersama Kuwait, Timor Leste, dan Bahrain sebagai tuan rumah bagi kumpulan itu.

    Brunei akan memulakan perlawanan menentang Kuwait di Pusat Sukan Khalifa, Manama, Bahrain pada 7 Oktober, diikuti dengan perlawanan menentang Bahrain dua hari kemudian.

    Pasukan The Wasps akan menamatkan saingan kumpulan mereka dengan berentap menentang Timor Leste pada 11 Oktober depan.

    Pada masa yang sama, Pengurus Bersama Pasukan Kebangsaan Bawah 23 Tahun (B23) Brunei, Haji Adee Suhardee bin Haji Muhidin juga telah berkongsi bahawa pasukan B-23 kebangsaan akan turut menyertai dua pertandingan pada tahun ini iaitu Kejohanan B23 Persekutuan Bola sepak ASEAN (AFF) 2023 dan kelayakan Piala Asia B23 AFC 2024.

    Kejohanan AFF akan diadakan di Thailand dari 17 hingga 26 Ogos manakala kejohanan AFC akan berlangsung dari 6 hingga 12 September, dengan Jordan menjadi tuan rumah bagi Kumpulan A yang diikuti oleh pasukan Brunei.

    Pasukan The Young Wasps akan memulakan kempen AFF dengan berhadapan dengan Kemboja pada 17 Ogos di Stadium Wilayah Rayong, diikuti dengan tuan rumah Thailand pada 19 Ogos dan terakhir menentang Myanmar pada 21 Ogos.

    Setelah itu, dalam kejohanan AFC, Brunei akan berentap bersama Jordan, Syria, dan Oman.

    Mereka akan berentap dengan Jordan pada 6 September, diikuti dengan perlawanan menentang Syria pada 9 September, dan Oman pada 12 September.

    Sebelum pertandingan antarabangsa utama, pasukan bawah 23 tahun juga akan terlibat dalam perlawanan persahabatan menentang Laos pada 12 Ogos.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda