Oleh James Kon –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Sebagai persediaan menghadapi kelayakan Piala Dunia yang akan datang pada Oktober, skuad Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam akan diuji dalam perlawanan persahabatan menentang Sabah FC yang bakal berlangsung di Padang dan Balapan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, esok.
Dalam sidang akhbar hari ini, ketua jurulatih skuad kebangsaan Brunei, Mario Rivera, berkata, “Ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Sabah FC merupakan pasukan yang sangat baik dan kami gembira dapat mengadakan perlawanan persahabatan ini, yang juga merupakan perlawanan pertama untuk persiapan kelayakan Piala Dunia pada bulan Oktober.”
Beliau menggambarkan Sabah FC, sebagai salah satu pasukan terbaik di Malaysia. Ia akan menjadi perlawanan yang baik bagi mereka, menguji kekuatan menentang pasukan yang mempunyai pemain tempatan dan luar yang sangat bagus.
“Saya berharap mereka akan bermain di tahap terbaik mereka supaya kami juga dapat meningkatkan tahap permainan kami. Saya melihat beberapa perlawanan mereka bukan sahaja tahun ini tetapi juga beberapa tahun lalu, saya kagum dengan tahap profesionalisme dalam pasukan tersebut,” tambahnya.
Dari segi persediaan, dia menyatakan bahawa ia merupakan perlawanan persahabatan pertama yang di hadapi bersama skuad penuh. Persediaan mungkin lebih baik. Dua bulan lalu saya memilih 30 pemain namun, semalam, kami hanya berlatih dengan 21 pemain.

Mario Rivera juga menyampaikan pesanan untuk peminat Brunei, “Saya ingin meminta peminat datang dan menyokong pasukan. Ia merupakan perlawanan pertama di Brunei tahun ini. Pemain teruja untuk bermain di hadapan peminat dan ingin menunjukkan bagaimana mereka boleh bersaing. Semoga peminat berbangga dengan prestasi pasukan.
“Kami akan berjuang dan saya yakin pasukan Brunei akan memberikan 100 peratus dalam perlawanan itu.”
Sementara itu, Penolong jurulatih Sabah FC, Rastislav Bozik berharap melalui perlawanan persahabatan itu, pasukannya dapat mengekalkan kecergasan dan rentak permainan pemain mereka.
Pemain yang tidak bermain ba-nyak minit, akan mendapat peluang untuk beraksi.
Dari segi persiapan, beliau berkata “Persediaan Sabah FC adalah seperti biasa.
“Kami bekerja secara tetap sebagai sebuah kelab bola sepak.
“Terdapat beberapa pemain yang bersama skuad kebangsaan justeru lebih banyak peluang pemain lain untuk menyinar. Ia juga merupakan perlawanan persediaan untuk kami bersaing dalam Piala AFC akan datang,” tambahnya.
Kapten Sabah FC, Khairul Fahmi menambah “Beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Brunei ini pastinya akan menjadi persiapan yang tidak ternilai buat kami dalam Piala AFC hujung bulan ini.”
Perlawanan persahabatan itu akan bermula pada jam 8:15 malam esok dan tiket boleh didapati di venue dari jam 1 tengah hari dan seterusnya.