Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Brunei Darussalam bakal menghoskan Cabaran Bola Sepak Antarabangsa 7-Sepasukan Brunei Darussalam Kelapan 2017 yang bermula 4 hingga 5 November ini di Kompleks Sukan Berakas.
Kejohanan akan diadakan dalam dua format pertandingan, Kategori Veteran yang terdiri daripada pasukan FC Losso 99 (Malaysia), DST, I.T.F, Riwayat FC, Al Idrus, PSJD, SM FC, Terazza, Kingkaw FT dan pasukan FT Boz.
Manakala dalam Katgeori Grand Master pula akan disertai oleh pasukan HMFC (Malaysia), XN FT, PSJD, SM FC, Terazza, Stoneville, MBS UTD MSC, Muara Spurs dan pasukan Al Rewadah.
Atur cara kejohanan akan bermula pada 3 November 2017 (Jumaat) dengan Mesyuarat Pengurus-pengurus Pasukan dan Undian di Dewan Serbaguna NFABD dan majlis perasmian akan berlangsung pada 4 November 2017 (Sabtu) ini. Acara pembukaan rasmi kejohanan akan disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Sehubungan dengan itu, Media Permata berkesempatan menemu bual Mohammad Ali Sabri Haji Abang yang selaku setiausaha kejohanan tersebut, beliau berharap untuk melihat kejohanan itu berjalan dengan lancar dan jayanya.
“Pasukan-pasukan yang ikut serta nanti dihasratkan akan berasa puas hati akan penganjuran tahun ini berbanding kejohanan yang sudah-sudah,” katanya.
Menurutnya XN FT dan Al-Idrus FT adalah pasukan-pasukan yang elit dan berkemampuan untuk menyaingi pasukan dari luar negara seperti HMFC dan Looso, yang juga tidak kurang hebatnya.
“Saranan saya adalah agar para pemain bermain dengan Fair Play dan semangat juang yang positif,” ujarnya lagi.