Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dalam kenyataannya yang dikeluarkan di sini, memaklumkan bahawa hasil laporan pemantauan dan analisis makmal, yang dijalankan secara berterusan sejak Ogos 2019, telah menunjukkan perairan Negara Brunei Darussalam kini bebas daripada pencemaran air kemerah-merahan.
Walau bagaimanapun, sebagai peringatan dan langkah berjaga-jaga, orang ramai diingatkan untuk membuang semua insang, perut dan organ-organ dalaman ikan sebelum dimasak, menurut kenyataan itu lagi.
Pada masa yang sama, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak memakan ikan-ikan kecil yang tidak dapat dibuang insang, perut dan organ-organ dalamannya serta kerang-kerangan dan ikan yang tidak diketahui tempat asalnya.
Sehubungan dengan itu, pihak Jabatan Perikanan akan terus menjalankan pemantauan rutin air kemerah-merahan.
Kenyataan menyatakan, orang ramai bolehlah membantu Jabatan Perikanan dengan melaporkan sebarang kejadian perubahan warna air, atau menjumpai ikan-ikan mati dalam jumlah yang banyak di kawasan perairan dan pantai-pantai melalui talian 2770066 pada waktu bekerja dan talian hotline, 7297771.