Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei belum bersedia diukur semula dalam NRI

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Negara Brunei Darussalam pernah tersenarai dalam Network Readiness Index (NRI) iaitu kali ter-akhir pada 2014 di mana kedudukan negara ketika itu di tangga 45 daripada 148 ekonomi.

    Namun pada tahun-tahun berikutnya pula, negara tidak tersenarai disebabkan oleh data yang tidak mencukupi dan masih belum bersedia lagi untuk termasuk diukur dalam NRI.

    Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha menjelaskan perkara itu semasa menjawab persoalan mengenai kenapa Brunei tidak tersenarai dalam NRI yang dikemukakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Chong Chin Yee semasa perbahasan di Dewan Majlis, kelmarin.

    Data-data yang dimaksudkan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi itu termasuk sukatan mengenai high tech, medium high-tech manufacturing, komitmen kepada Jet Hub, Future Technologies termasuk pelaburan-pelaburan di dalam Emerging Technologies dan densiti robot, AI Scientific Applications dan seumpamanya.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Pengiran Dato berkata bahawa Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi (AITI) dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) akan merujuk dan menggunakan indeks antarabangsa yang bersesuaian sebagai tanda aras dan bahan rujukan untuk mengukur tahap perkembangan ICT.

    Antaranya ialah Indeks Pembangunan ICT di bawah Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Indeks Pembangunan e-Kerajaan (EDI) di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Indeks Kemahiran Digital di bawah inisiatif Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

    “Di bawah EDI, negara telah mencapai kedudukan di tangga ke-68 daripada 193 pada 2022. Antara yang diukur adalah tahap modal insan di samping perkembangan infrastruktur dan komunikasi dalam talian.

    “Indeks Jurang Kemahiran Digital (DSGI) adalah di bawah APEC yang meneliti kedudukan 134 ekonomi dalam kesediaan sesebuah ekonomi bagi kemahiran digital yang diperlukan untuk pertumbuhan mampan pemulihan dan kemakmuran. Pada laporan DSGI 2021, Negara Brunei Darussalam telah pun mendapat skor 6.1 di tangga 32,” kongsi beliau lagi.

    Ke arah meningkatkan ketersediaan data, Yang Berhormat Pengiran Dato mengongsikan bahawa adanya keperluan untuk meningkatkan kerjasama antara agensi kerajaan untuk meneliti akan kongsi sama data-data di bawah kementerian dan jabatan masing-masing.

    “Insya-Allah, inisiatif ini akan dipertingkatkan lagi agar institusi-institusi antarabangsa mahupun penduduk dan pelajar sekolah akan dapat menge-tahui dan mendapat akses kepada data secara terbuka,” ujar beliau.

    Menurutnya lagi, pihak AITI dan MTIC akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi berkepentingan untuk meneliti indeks antarabangsa yang dapat diikuti dan digunakan sebagai benchmark kepada kesediaan industri ICT negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda