Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Dalam mempertingkatkan lagi cita-cita iklim dunia, Negara Brunei Darussalam sedang bergerak ke arah sifar bersih menjelang 2050 dan ini akan didorong melalui peralihan tenaga dan pemeliharaan hutan, walaupun ia bukan suatu tugas yang mudah tapi ia harus dilaksanakan.
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar, menegaskan perkara itu semasa Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-26 (COP26) yang diteruskan dengan Resumed High-Level Segment bagi kenyataan negara bermula hari ini hingga 10 November.
Yang Berhormat Dato selaku pengerusi bersama Majlis Kebangsaan Brunei Darussalam mengenai Perubahan Iklim, menyampaikan kenyataan Brunei bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya menjelaskan, ia telah dilakukan selama hampir sedekad dan ia akan terus dikekalkan dan untuk kali ini, ia akan membuka peluang besar untuk pertumbuhan hijau dan pekerjaan hijau.
Katanya lagi, “Brunei hanya menyumbang kepada kira-kira 0.025 peratus daripada pelepasan rumah hijau global tapi kami percaya dengan tindakan kecil kami ia akan membuat perbezaan positif yang besar.”
Sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Negara Brunei Darussalam berbesar hati untuk membentangkan Kenyataan Bersama ASEAN kepada COP26.
ASEAN telah mengesahkan komitmen kolektif rantau ini mengenai tindakan iklim, baik kepada UNFCCC dan Perjanjian Paris.
Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan bahawa ASEAN menyeru pihak negara maju untuk mengukuhkan sokongan dan kerjasama untuk mempercepatkan tindakan iklim di rantau ini di bawah tema We Care, We Prepare, We Prosper.
Pada tahun ini, ASEAN telah menyaksikan peningkatan komunikasi NDC, menyokong dasar penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN di Negara Brunei Darussalam, selain menghasilkan program platform Belia ASEAN mengenai Tindakan Iklim dan Pembangunan Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Lestari.
“Ini termasuk pelancaran Inisiatif Hijau ASEAN, pembaharuan tenaga serantau dan sasaran kecekapan dan pemuliharaan tenaga dalam mempercepatkan tindakan iklim,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan, sebagai sebuah negara yang kecil dan terletak di sepanjang pantai, risiko Brunei terdedah terhadap perubahan iklim adalah sangat tinggi.
“Kami memahami impak yang dahsyat selain mengetahui sebahagian besar kawasan strategik utama kami di seluruh negara, mungkin berada di bawah paras air seawal tahun 2050.
“Ini telah menggesa kami untuk melihat usaha semasa dalam memastikan ianya kekal berada pada sasaran 1.5 darjah,” tambahnya.
Rundingan COP26 diteruskan sehingga 12 November ini untuk menyelesaikan isu-isu tertunggak mengenai Buku Peraturan Paris untuk beroperasi sepenuhnya dan melaksanakan Perjanjian Paris.