Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei berpuas hati di tempat kedua

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Boneka Paddlers Team B telah mengharumkan nama Brunei di peringkat antarabangsa apabila kalah tipis dalam acara Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak (SIDBR) di Kuching Waterfront, baru-baru ini.

    Pasukan yang bertanding dalam kategori Terbuka 20s itu mendapat tempat kedua dengan catatan masa 1 jam 10 minit 16 saat, hanya 9 saat di belakang juara Pacific West Dragon Boat Club Penang, dan di hadapan Kapuas Hulu dari Indonesia yang mendapat tempat ketiga.

    Jurulatih Boneka Paddlers, Mohammad Aliudin Nohaddin merasakan pasukannya boleh berusaha dengan lebih baik lagi.

    “Sejujurnya, saya kurang senang dengan keputusan kami sebagai naib juara. Ini adalah kerana ada sedikit kesilapan dari segi taktik dan strategi yang digunakan semasa pertandingan.

    “Jika tiada kesilapan dibuat pada pusingan akhir dan taktik serta strategi kami dijalankan seperti yang dirancang, saya yakin kami pasti menjadi juara. Walau bagaimanapun, saya terima keputusan ini dengan hati yang terbuka,” katanya.

    Untuk edisi kali ini, pasukan Boneka Paddlers terdiri daripada 45 orang pengayuh, empat daripadanya adalah wanita. Mereka bertanding dalam empat kategori iaitu acara 20-kru, 12-kru, 12-kru campuran, dan acara master campuran.

    Pasukan lain yang turut mewakili Brunei dalam acara kali ini ialah Persatuan Lela Cheteria, Boneka Paddlers Team A, Kelab Perahu Naga PTB dan Pasukan Daerah Tutong.

    Gambar ramai pasukan Boneka Paddlers Team B. – Gambar serahan SIDBR
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda