Brunei bersedia bagi akses ICT terbaik

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Negara Brunei Darussalam kini mempunyai kesalinghubungan tinggi dalam sektor ICT, yang mana, penembusan jalur lebar mudah alih dalam kalangan penduduk telah mencapai 130 bagi setiap 100 penduduk pada 2018.

Data ini mencerminkan penggunaan jalur lebar mudah alih yang tinggi oleh penduduk negara ini, ia juga bermakna adanya kesediaan yang tinggi dalam kalangan pengguna di Negara Brunei Darussalam untuk menerima dan mengguna pakai perkhidmatan dan teknologi baru.

Ini, tambah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, merupakan satu trend yang menggalakkan dan selaras dengan dasar penstrukturan semula industri ICT yang berjalan pada masa ini.

“Insya-Allah, para pengguna di Negara Brunei Darussalam boleh menjangkakan akses yang lebih meluas kepada berbagai-bagai perkhidmatan ICT dengan kelajuan yang lebih tinggi dan harga yang lebih berdaya saing,” tambah beliau lagi dalam perutusannya sempena memperingati Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia (WTISD) 2019 yang disambut pada 17 Mei.

Menurut beliau lagi, dengan trend terkini ini serta kemunculan teknologi 5G, adalah sangat penting bagi Negara Brunei Darussalam untuk terus membangun rangka kerja piawaiannya yang pada masa ini masih dalam peringkat awal penyediaannya.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib mengatakan para pengguna jalur lebar di negara ini akan mendapat akses lebih luas dalam pelbagai khidmat ICT dalam perutusannya sempena memperingati Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia.

Untuk membangun keupayaan piawaian optimum dan merapatkan jurang penyeragaman bagi Negara Brunei Darussalam, adalah sangat penting bagi industri di seluruh negara untuk mengakui piawaian ICT sebagai rujukan utama dalam menerima pakai dan mengimport peralatan dan teknologi terkini.

Dalam pada itu, tambah beliau, satu rangka kerja penyeragaman kebangsaan bagi peralatan dan teknologi ICT memainkan peranan utama dalam transformasi digital ekonomi dan masyarakat umum.

Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) melalui Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi (AITI) telah melaksanakan inisiatif-inisiatif ke arah menjana pemahaman yang lebih mendalam antara pihak-pihak yang berkepentingan mengenai piawaian dan teknologi-teknologi baharu yang muncul.

Ini termasuk kolaborasi bersama Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dalam penyediaan Brunei Darussalam 5G Market Readiness Report 2018.

Laporan berkenaan, jelas beliau, telah menilai kesedia-an Negara Brunei Darussalam untuk menyokong perlaksanaan rangkaian 5G akan datang berasaskan kepada tanda aras antarabangsa dan input daripada pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan dalam sektor ICT.

“Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, kita telah melihat inisiatif-inisiatif berkolaborasi yang berterusan antara Negara Brunei Darussalam, melalui MTIC dan AITI, bersama dengan ITU yang bertujuan untuk membekalkan industri dan pihak-pihak berkepentingan dengan pemahaman yang lebih mendalam mengenai kemunculan teknologi-teknologi baharu.”

Hasil atau deliverable signifikan daripada inisiatif-inisiatif berkenaan, ujar beliau, bukan sahaja dalam bentuk pengetahuan yang diperolehi daripada pakar-pakar tetapi juga dalam bentuk pembentukan satu pendekatan yang lebih selaras dan holistik merentasi pelbagai sektor ekonomi dalam usaha sama mencapai objektif-objektif Wawasan Brunei 2035.

Menyentuh mengenai WTISD, Yang Berhormat Dato berkata, tahun ini menandakan WTISD ke-50 dan tema pada tahun ini adalah ‘Merapatkan Jurang Penyeragaman’ yang telah dipilih untuk menonjolkan jurang-jurang dalam piawaian ICT.

Pemilihan tema ini, jelas beliau, sememangnya bersesuaian dan bertepatan dengan masanya, terutama sekali dengan kemunculan teknologi-teknologi baharu masa kini.

ITU berhasrat untuk memudahcara penyertaan berkesan dalam kalangan negara-negara membangun dalam proses penyediaan piawaian-piawaian ITU, untuk menyebarkan maklumat mengenai piawaian sedia ada dan juga untuk membantu negara-negara membangun dalam perlaksanaan piawaian-piawaian tersebut.

Kesemua negara perlu berupaya untuk menentukan piawaian yang bersesuaian kepada keperluan pembangunan masing-masing, terutama sekali bagi kemajuan ekonomi dan inovasi teknologi.

Beliau menjelaskan, penyeragaman piawaian membolehkan sistem atau peralatan berlainan untuk berinteroperasi atau berhubung antara sesamanya. Maka, ia merupakan antara komponen asas untuk menyediakan perkhidmatan ICT sedunia yang accessible pada harga berpatutan dengan teknologi terkini.

Piawaian juga memberikan pengguna pilihan meluas mengenai spesifikasi dan produk-produk ICT. Ia juga membolehkan industri untuk lebih berdaya saing dalam pasaran di samping membantu meningkatkan fungsi Kerajaan melalui pemudahcaraan kerjasama agensi berkaitan dan pertukaran maklumat secara konsisten.