Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei bertemu Indonesia kelayakan piala dunia AFC

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Brunei Darussalam akan beraksi dalam saingan pusingan kedua bertemu Indonesia dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 Kejohanan Persatuan Bola Sepak Asia (AFC) pada malam esok di Stadium Negara Hassanal Bolkiah,
    Berakas.

    Sehubungan itu, pagi tadi telah diadakan sidang media bersama pasukan kebangsaan dari Negara Brunei Darussalam dan Indonesia bertempat di Bilik Sidang Media Stadium Negara Hassanal Bolkiah yang dihadiri oleh para pengamal media tempatan dan dari Indonesia.

    Semasa sidang media tersebut, Jurulatih Indonesia, Shin Tae-Yong menjelaskan bahawa meskipun pasukan kendaliannya berjaya mengalahkan pasukan kebangsaan Brunei pada perlawanan sebelumnya, pasukannya akan tetap memberikan fokus yang tinggi dalam perlawanan esok dengan cuba memberikan permainan yang terbaik pada perlawanan itu nanti.

    Sudah pasti ada perubahan besar yang akan dilakukan menjelang perlawanan pada malam esok, jelas Shin Tae-Yong sebagai salah satu strateginya melawan pasukan kebangsaan Brunei yang sudah semestinya akan menjadikan perlawanan itu lebih menarik.

    “Pasukan kebangsaan Brunei menunjukkan kesungguhan dan usaha yang cukup tinggi pada perlawanan sebelumnya ketika bermain di Indonesia,” jelasnya lagi.

    Mario Rivera dan Muhammad Hakeme Yazid ketika menghadiri sidang media tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Kapten Pasukan Indonesia, Fachruddin Aryanto yang turut hadir semasa sidang media berkenaan juga berkesempatan mengulas mengenai permainan pada esok malam sekaligus menzahirkan harapan serta cita-citanya untuk memastikan pasukan Indonesia berjaya dan mara ke pusingan kelayakan seterusnya.

    Ketua jurulatih skuad kebangsaan Brunei, Mario Rivera semasa sidang media berasingan pula menjelaskan bahawa pasukan kendaliannnya akan berusaha dengan bersungguh-sungguh menjelang perlawanan di laman sendiri dengan kehadiran penyokong tempatan menentang pasukan Indonesia.

    Untuk bangkit daripada kekalahan 6-0 pada perlawanan sebelumnya adalah suatu perkara yang hampir mustahil baginya tambahan pula pasukan Indonesia berada dalam keadaan baik dan jauh lebih bersedia, namun beliau dan seluruh pasukannya akan berusaha lebih gigih pada perlawanan pada malam esok.

    Memenangi perlawanan pada malam esok mungkin boleh dapat dicapai tapi untuk bangkit mengalahkan pasukan Indonesia setelah ketinggalan dengan jurang enam gol adalah sesuatu yang hampir tidak mungkin dapat dilakukan, jelas Mario lagi.

    Sementara itu bagi pemain kebangsaan negara, Muhammad Hakeme Yazid bin Said mengongsikan bahawa bermain di tempat sendiri sudah pasti memberikan kelebihan bagi pasukan kebangsaan Brunei, yang mana menambah semangat juang mereka untuk meningkatkan usaha mereka dalam perlawanan nanti berbanding sebelumnya.

    Mario seterusnya menambah beliau yakin dengan adanya sokongan daripada para penyokong tempatan pada perlawanan esok ia akan meningkatkan semangat dan motivasi serta kepercayaan diri para pemain untuk berusaha lebih keras dan mengelakkan daripada melakukan banyak kesilapan dalam perlawanan itu nanti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda