Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei bertemu Timor Leste di kelayakan Piala AFF

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Pasukan bola sepak kebangsaan Negara Brunei Darussalam akan bertemu Timor Leste dalam pusingan kelayakan Piala Suzuki Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2020 yang dijadualkan semula setelah undian rasmi diadakan secara maya hari ini.

    Pasukan Tabuan dijangka akan menyambut kunjungan pesaing mereka setelah dilantik sebagai pasukan tuan rumah dalam satu perlawanan.

    Pemenang perlawanan akan menempah tempat di peringkat kumpulan pertandingan dan secara automatik akan memasuki Kumpulan A bersama Thailand, Myanmar, Filipina dan Singapura. Manakala dalam Kumpulan B terdiri daripada Vietnam, Malaysia, Indonesia, Kemboja dan Laos.

    Berkenan menghadiri majlis undian tersebut ialah Timbalan Presiden AFF, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah bersama naib presiden AFF, ahli majlis, anggota majlis dan pegawai-pegawai kanan dari persatuan anggota masing-masing.

    Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth dalam ucapan alu-aluannya mengatakan, “Sudah menjadi cabaran bagi semua persekutuan bola sepak dan peminat kami dari pelbagai negara tetapi saya yakin bahawa kita akan muncul lebih kuat sebagai sebuah komuniti bola sepak.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah semasa berkenan menghadiri majlis undian secara maya. – Gambar serahan AFF

    “Piala AFF Suzuki 2020 yang akan dijadualkan berlangsung dari 5 Disember hingga 1 Januari 2022 akan menjadi momen yang sangat istimewa bagi kita semua,” jelas Mejar Jeneral Khiev Sameth.

    “Ini akan menjadi perayaan rantau kita dalam mengatasi COVID-19 dan ini akan menjadi peluang yang tepat untuk menunjukkan perpaduan ASEAN pada masa-masa sukar ini.

    “AFF bersama-sama dengan rakan kami bekerja keras untuk merancang kejohanan yang selamat dan terjamin.

    “Ini adalah objektif utama AFF untuk memastikan tahap keselamatan tertinggi setiap orang semasa acara berlangsung.

    “Dengan ini, kami telah mengambil keputusan yang bertanggungjawab untuk menjadi tuan rumah keseluruhan kejohanan tahun ini,” tambahnya.

    “Kami sekarang berada di peringkat akhir memilih negara tuan rumah untuk kejohanan ini. Kami melakukan segala yang mampu dan bekerjasama dengan semua pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan keselamatan semua peserta,” tambahnya.

    Beliau juga menambah bahawa perincian mengenai tempat kejohanan akan diumumkan dalam beberapa minggu akan datang.

    Vietnam akan mempertahankan gelaran itu setelah memenangi edisi lalu pada 2018 ketika mereka mengalahkan Malaysia 3-2 di final, dengan gol enam minit oleh penyerang pasukan Nguyen Anh Duc pada perlawanan kedua bagi menentukan kemenangan mereka.

    Sementara itu, Naib Presiden AFF, Dato ’Sri Francisco Kalbuadi Lay dan Lim Kia Tong hadir secara fizikal melakukan undian rasmi Piala Suzuki AFF 2020 hari ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda