Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Brunei Book of Records yang bakal diperkenalkan buat julung kalinya dan membuka lembaran pada Festival Disember Brunei (BDF) 2018 dengan kemasukan kelupis terpanjang di negara ini pasti menjadi acara yang tidak harus dilepaskan oleh seluruh lapisan masyarakat di negara ini.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dialu-alukan untuk memeriahkan majlis pelancaran festival yang akan diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien pada 2 Disember ini.
Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan), Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Awang Wardi bin Haji Mohd Ali berkata demikian semasa sidang media di KSSUP, petang tadi.
Pada sidang media berkenaan beliau menjelaskan, keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bercemar duli bersama kerabat diraja dan menyertai kayuhan berbasikal sejauh 11.5km pasti menyerikan lagi acara perasmian festival pada pagi itu.
Selain itu, lawatan rakan-rakan strategik BDF seperti Syarikat Penerbangan Diraja Brunei, QAF Auto Sdn Bhd, Progresif Cellular Sdn Bhd, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan banyak lagi turut memberikan dorongan komersial kepada festival yang diadakan sempena Brunei Salebration yang menawarkan jualan murah oleh kedai-kedai di seluruh negara.

Menurut Awang Wardi lagi, beberapa acara baharu turut diperkenalkan tahun ini bagi memberikan orang ramai peluang untuk menyerlahkan kebolehan dan bakat masing-masing.
Katanya lagi, acara tahun lepas masih dikekalkan tetapi diangkat ke peringkat antarabangsa yang lebih difokuskan untuk penyertaan para peserta dari luar negara.
“Kita juga bekerjasama dengan kedutaan asing untuk menyajikan makanan antarabangsa seperti Festival Singapura di Horizons Seafood di mana cef dari Restoran Maimunah Singapura didatangkan khas untuk menunjukkan masakan pada 2 Disember bersama Festival Makanan Indonesia di Hotel Parkview dan Festival Makanan Thailand di Restoran Kampung Jerudong,” tambah beliau.
Selain dimeriahkan dengan uji bakat dan pertandingan filem pendek, festival kali ini turut diseimbangkan dengan aktiviti keagamaan seperti Kem Belia Muslim di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dengan acara kemuncaknya adalah Festival Antarabangsa Islamik Brunei yang dianjurkan oleh Qalby Event Management.
“Lembaga Kemajuan Pelancongan juga telah melancarkan laman sesawang khas supaya orang ramai dapat mengetahui acara yang akan diadakan dan memuat turun maklumat lanjut,” katanya.
Pada sidang media itu juga, Awang Wardi turut menjelaskan mengenai Pertandingan ‘South East Asia Friendly GO Exchange’ melibatkan 44 peserta dari Thailand, Singapura, Malaysia, Jepun dan 10 pemain tempatan di Anggerek Services Apartment bermula 1 hingga 2 Disember.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Battle Pro Marketing, Haji Syed Mohd Yassin bin Haji Syed Anayatullah Sahah juga turut menerangkan mengenai acara YES Letop 2018 yang akan diadakan pada penghujung Disember ini.
Acara empat hari bersama kira-kira 100 buah petak jualan dengan 80 peratus daripadanya adalah pengusaha tempatan dan selebihnya pengusaha dari luar negara akan diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.