Brunei catat 110 lagi kes baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Negara Brunei Darussalam hari ini mencatatkan 110 lagi kes baharu jangkitan COVID-19 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini kepada 3,329 orang.

Selain itu, terdapat satu kluster baharu yang dikesan dan ini membawa jumlah kluster aktif kepada 51 kluster. Kluster baharu tersebut mengandungi lima kes yang dikaitkan dengan Kes 2839 yang telah dilaporkan pada 1 September lalu.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan perkara tersebut semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato kemudian mengongsikan, terdapat 52 tambahan kes baharu kepada 11 kluster aktif yang sedia ada. Kes-kes dalam kluster aktif berkenaan adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.

Sementara itu, 54 kes adalah masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi, pengesanan kontak bagi semua kes-kes baharu itu masih giat dijalankan dan semua kontak terdekat yang dikenal pasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2.

Yang Berhormat Dato juga mengongsikan bahawa sebanyak 140 kes telah disahkan sembuh pada hari ini, termasuk 59 kes positif dalam kategori 1 yang telah membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing.

“Kesemua mereka telah melakukan ujian swab ulangan pada hari ke-12 dan disahkan sembuh. Oleh itu, jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam meningkat kepada sebanyak 1,608 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,703 kes,” katanya.

Dalam kalangan kes-kes aktif tersebut, lapan kes dalam keadaan kritikal yang mana tujuh daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) manakala satu lagi kes masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

Sementara itu, 29 kes lain yang dikategorikan dalam kategori 4 ketika ini ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi.

Pada sidang media tersebut, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,803 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 249,689 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth. Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada: [email protected]