Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei catat 2.8 peratus kenaikan KDNK

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Negara Brunei Darussalam mencatatkan peningkatan 2.8 peratus pada harga tetap dalam suku kedua hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun-ke-tahun.

    Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi di sini hari ini, KDNK negara pada harga semasa berjumlah $4 bilion pada suku kedua 2020 berbanding $4.8 bilion pada suku kedua 2019.

    Sektor minyak dan gas merangkumi aktiviti perlombongan minyak dan gas serta pembuatan gas cecair asli (LND) bernilai $1.9 bilion yang menyumbang kepada 46.8 peratus jumlai nilai kasar (GVA).

    Sementara itu, sektor bukan minyak dan gas yang kini termasuk aktiviti hiliran seperti pembuatan produk petroleum dan kimia, menyumbang sebanyak 53.2 peratus dengan nilai $2.1 bilion.

    Peningkatan 2.8 peratus tahun-ke-tahun adalah di-sebabkan peningkatan da-lam sektor bukan minyak dan gas sebanyak 8.1 peratus, manakala sektor minyak dan gas mencatatkan penurunan 1.3 peratus.

    Peningkatan dalam Sektor Bukan Minyak & Gas adalah terutamanya disebabkan oleh aktiviti hiliran termasuk pengeluaran baru produk petroleum dan kimia, dengan nilai tambah kasar sebanyak $294.9 juta pada harga tetap.

    Manakala, penurunan dalam sektor minyak dan gas adalah terutamanya disebabkan oleh penurunan pengeluaran LNG daripada 984,343 MMBtu sehari pada suku kedua 2019 kepada 910,974 MMBtu sehari pada suku kedua 2020.

    Pengeluaran gas asli juga menurun daripada 34.34 juta meter padu sehari kepada 34.30 juta meter padu sehari pada tempoh masa yang sama.

    Mengikut jenis kegiatan ekonomi, pertumbuhan positif tahun-ke-tahun pada suku kedua 2020 adalah terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam sektor industri sebanyak 6.6 peratus berikutan pengeluaran baru produk petroleum dan kimia.

    Walau bagaimanapun, Sektor Perkhidmatan menurun sebanyak 3.6 peratus, antara lainnya disebabkan oleh penurunan dalam subsektor seperti pendidikan, perkhidmatan kerajaan dan pengangkutan udara. Penurunan dalam subsektor perkhidmatan pendidikan sebanyak 18.4 peratus adalah selaras dengan penurunan pada perkhidmatan pendidikan kerajaan dan swasta.

    Dalam pada itu, berikutan dengan penularan jangkitan wabak COVID-19 telah menyebabkan penurunan kepada beberapa aktiviti perkhidmatan seperti subsektor pengangkutan udara sebanyak 93.1 peratus disebabkan oleh pengurangan operasi perjalanan.

    Penularan wabak ini juga telah menjejaskan perkhidmatan seperti perhotelan dan restoran, di mana pada tempoh suku kedua, kerajaan telah banyak melaksanakan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko penularan seperti penyekatan kemasukan pelancong ke negara ini, penegahan perkhidmatan penyajian makanan (dine-in) di premis-premis makanan dan menghadkan jumlah pelanggan yang dibenarkan untuk dine-in dalam satu-satu masa.

    Walaupun sektor perkhidmatan secara keseluruhan menurun, terdapat juga subsektor-subsektor di bawah sektor ini menunjukkan peningkatan seperti perkhidmatan kewangan (11.8 peratus), pengangkutan air (33.2 peratus), hartanah dan pemilikan kediaman (2.4 peratus), perkhidmatan perhubungan (2.5 peratus) dan perdagangan borong dan runcit (0.3 peratus). Peningkatan Subsektor Perkhidmatan Kewangan adalah berikutan peningkatan pendapatan pelaburan yang berkaitan dengan aktiviti perkhidmatan perbankan.

    Manakala peningkatan subsektor perdagangan borong dan runcit adalah selaras dengan penyekatan perjalanan keluar negara berikutan penularan jangkitan wabak COVID-19.

    Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan juga telah mencatatkan penurunan sebanyak 4.4 peratus berikutan penurunan dalam pengeluaran subsektor-subsektor perikanan, ternakan dan perhutanan. Walaubagaimanapun, ianya diimbangi oleh pertumbuhan positif di subsektor sayur-sayuran, buah-buahan & pertanian lain yang berkembang sebanyak 7.6 peratus.

    Laporan penuh KDNK Suku Kedua 2020 boleh didapati melalui laman sesawang JPES: www.deps.gov.bn

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda