Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Lima kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan di Negara Brunei Darussalam hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini kepada 157 orang.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) menjelaskan, kes 153 ialah seorang lelaki berumur 29 tahun yang tiba dari India melalui Kuala Lumpur, Malaysia pada 18 Disember lalu dengan menaiki pesawat Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) BI874.
Beliau telah mengalami cirit-birit bermula 21 Disember lalu selama dua hari dan pada masa ini tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan.
Kes 154 ialah seorang wanita berumur 27 tahun yang juga tiba dari India pada 18 Disember lalu dengan menaiki penerbangan BI4112 bagaimanapun tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan.
Kes 155 ialah seorang wanita berumur 61 tahun yang tiba dari India pada 18 Disember lalu dengan menaiki penerbangan BI4112 dan mula mengalami demam panas pada 29 Disember lalu.
Kes 156 ialah seorang lelaki berumur 63 tahun dan suami kepada kes 155 dan menaiki penerbangan sama di mana beliau mula mengalami demam panas dan batuk pada 28 Disember lalu.
Manakala itu, kes 157 ialah seorang wanita berumur 33 tahun yang juga tiba dari India pada 18 Disember lalu dengan menaiki penerbangan BI4112 bagaimanapun beliau tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan.
Kesemua kes baharu berkenaan sedang berada di Pusat Pengasingan Kebangsaan bagi pemantauan dan rawatan, tambah Yang Berhormat Dato dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Beliau turut menyatakan pengesanan kontak bagi kes-kes baharu berkenaan telah mendapati 19 orang kontak terdekat di mana ujian awal menunjukkan kesemua mereka negatif bagi COVID-19.
Menurut beliau, dengan pengesanan kes itu, sebanyak 16 kes import telah disahkan sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan pada 6 Mei 2020 yang mana dengan itu, Brunei Darussalam telah mencatatkan 238 hari tanpa kes jangkitan tempatan.
Dalam pada itu, beliau turut mengongsikan, “Pada hari ini, seramai 580 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan yang telah ditetapkan oleh kerajaan iaitu mereka yang baru tiba ke negara ini setelah melakukan perjalanan dari luar negara. Setakat ini, seramai 10,304 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori di kemudahan-kemudahan berkenaan.
“Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 199 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 83,108 ujian,” kongsi Yang Berhormat Dato lagi.
Dengan perkembangan terbaharu dan situasi global semasa pada masa ini, Yang Berhormat Dato mengingatkan orang ramai untuk tidak lalai dalam mengamalkan tanggungjawab sosial masing-masing dan disarankan untuk mengamalkan kebersihan diri dan etika bersin yang betul.
“Orang ramai terutamanya mereka yang mempunyai risiko seperti warga emas, ibu-ibu mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, pesakit buah pinggang, masalah pernafasan dan lain-lain, juga digalakkan untuk memakai penutup mulut dan hidung apabila berada di tempat-tempat awam, termasuk apabila berkunjung ke tempat-tempat perkumpulan ramai seperti pusat-pusat membeli-belah, ekspo jualan dan tempat-tempat persiaran.”
Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk tidak keluar rumah jika merasa kurang sihat serta mengelakkan dari mengunjungi tempat-tempat yang penuh sesak.
“Sebagaimana peruntukan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204), orang ramai adalah dikehendaki untuk mematuhi segala peraturan dan arahan yang telah dikeluarkan dan masih berkuat kuasa semasa pandemik COVID-19 ini,” tegas beliau.
Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi wabak di dalam negara serta di peringkat serantau dan global serta akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai sebarang perubahan mengenai situasi wabak COVID-19, jika perlu dari semasa ke semasa.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.