Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Dua kes import baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan di Negara Brunei Darussalam hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 313 orang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, hari ini, di sini, Kes 312 ialah seorang perempuan berusia 39 tahun yang tiba ke negara ini dari Jakarta pada 18 Julai lalu. Beliau mengalami simptom demam panas, batuk dan pening pada hari kedua kuarantin dan pengesanan kontak mendapati tiga kontak terdekat bagi kes ini.
Manakala itu, Kes 313 ialah seorang perempuan yang berusia 20 tahun yang tiba ke negara ini dari London pada 12 Julai lalu.
Beliau mengalami batuk dan sakit tekak pada 13 Julai dan kemudian mengalami hilang selera makan. Pengesanan kontak mendapati satu kontak terdekat bagi kes ini.
Kesemua kes import baharu itu telah dikesan semasa mereka sedang berada dalam kuarantin dan keseluruhan pengendalian perjalanan semasa ketibaan serta pengasingan diri mereka telah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada.
Sementara itu, tambah kenyataan, tiada kes jangkitan COVID-19 dilaporkan sembuh, hari ini dan ini, menjadikan jumlah kes yang sembuh kekal seramai 269 orang dengan seba-nyak 41 kes aktif sedang dirawat serta tiga kematian.
Kesemua kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan adalah dalam keadaan yang baik.
Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 dilaporkan pada 6 Mei 2020 iaitu 443 hari yang lalu dan jumlah kes import sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan ialah 172 kes.
Menurut kenyataan mengenai situasi terkini jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam setakat pukul 12 tengah hari, jumlah mereka yang sedang menjalani pengasingan diri mandatori ialah seramai 777 orang dan jumlah mereka yang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020 ialah seramai 22,245 orang.
Manakala itu, situasi vaksinasi COVID-19 yang dikongsi oleh Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa jumlah penerima vaksinasi setakat kelmarin ialah seramai 3,533 orang.
Bagi pemberian vaksin COVID-19, sejumlah 141,443 orang telah divaksin sejak program vaksinasi dilaksanakan pada 3 April lalu. Jumlah penerima dua dos lengkap ialah 22,243 manakala mereka yang menerima dos pertama setakat 22 Julai jam 5 petang ialah seramai 119,200 orang.
Daerah Brunei dan Muara mencatatkan bilang tertinggi pe-nerima vaksin iaitu seramai 75,074 bagi dos pertama dan 16,422 bagi dos kedua, Daerah Belait berjumlah 15,738 bagi dos pertama dan 2,583 bagi dos kedua, Daerah Tutong berjumlah 17,916 bagi dos pertama dan 2,411 bagi dos kedua serta Daerah Temburong berjumlah 10,472 bagi dos pertama dan 827 bagi dos kedua.
Dengan pemvaksinan itu, sejumlah 26.3 peratus penduduk Negara Brunei Darussalam telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.
Manakala sejumlah 4.9 peratus penduduk telah menerima dua dos vaksin.
Bagi jumlah warga emas yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pula ialah seramai 20,083 orang. Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 457 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 149,877 ujian.