Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei catat jumlah perdagangan $1,708.8 juta bulan Ogos

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Negara Brunei Darussalam mencatat jumlah perdagangan sebanyak $1,708.8 juta bagi bulan Ogos 2025, yang terdiri daripada eksport berjumlah $1,111.7 juta dan import berjumlah $597.1 juta.
     
    Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini telah mengongsikan penyumbang utama kepada nilai eksport adalah bahan api galian sebanyak 77.6 peratus, diikuti oleh bahan kimia sebanyak 18 peratus, dan jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 3.3 peratus.
     
    Pasaran eksport utama adalah Australia yang mencatat 21.6 peratus, diikuti oleh Republik Rakyat China dan Singapura, masing-masing sebanyak 18.2 peratus dan 16 peratus. 
     
    Sementara, komoditi eksport terbesar ke negara-negara tersebut adalah bahan api galian dan bahan kimia.
     
    Manakala, import pada bulan Ogos 2025 bernilai $597.1 juta di mana tiga komoditi import utama adalah bahan api galian, menyumbang sebanyak 52.5 peratus, diikuti jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 18.4 peratus, dan makanan sebanyak 10.1 peratus.
     
    Sumbangan terbesar rakan dagangan import adalah dari Malaysia sebanyak 16.5 peratus, diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu sebanyak 16.3 peratus, Australia dan Republik Rakyat China sebanyak 11.7 peratus.
     
    Komoditi import utama daripada rakan dagangan adalah bahan api galian, makanan dan bahan kimia.
     
    Import mengikut kategori penggunaan akhir digunakan untuk pemprosesan barangan perantaraan mencatat 58.8 peratus, diikuti oleh barangan modal bagi operasi perniagaan sebanyak 36.5 peratus dan barangan penggunaan bagi kegunaan isi rumah sebanyak 4.7 peratus.
     
    Laporan Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa bagi bulan Ogos 2025 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di https://deps.mofe.gov.bn.
     
    GAMBAR SERAHAN JPES
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda