Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Negara Brunei Darussalam mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak $1,803.5 juta bagi bulan Mei 2025, dengan nilai eksport berjumlah $1,027.9 juta dan import sebanyak $775.6 juta.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi hari ini, penyumbang utama kepada nilai eksport adalah bahan api galian sebanyak 70.9 peratus, diikuti bahan kimia 26.1 peratus dan barang-barang keluaran kilang 1 peratus.
Pasaran eksport utama adalah Republik Rakyat China sebanyak 19.4 peratus, diikuti Australia dan Republik Korea, masing-masing sebanyak 17.1 peratus dan 10.9 peratus.
Komoditi eksport terbesar ke negara-negara tersebut adalah bahan api galian dan bahan kimia. Manakala, tiga komoditi import utama adalah bahan api galian, menyumbang sebanyak 68.9 peratus, diikuti jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 9.7 peratus dan makanan sebanyak 8 peratus.
Sumbangan terbesar rakan dagangan import adalah dari Malaysia sebanyak 39.6 peratus, diikuti oleh Republik Rakyat China sebanyak 6.8 peratus dan Australia sebanyak 4.9 peratus.
Komoditi import utama daripada rakan dagangan adalah bahan api galian, makanan dan juga jentera dan kelengkapan pengangkutan.
Berbanding April 2025, jumlah perdagangan menurun sebanyak 7 peratus pada bulan Mei 2025 disebabkan oleh penurunan eksport sebanyak 11.9 peratus.
Sementara itu, import mengikut kategori penggunaan akhir digunakan untuk pemprosesan barangan perantaraan sebanyak 58.1 peratus, diikuti barangan modal bagi operasi perniagaan sebanyak 38.7 peratus dan barangan penggunaan bagi kegunaan isi rumah sebanyak 3.2 peratus.
