Monday, October 21, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei catat kemenangan pertama bola jaring Asia

    Oleh Fadhil Yunus – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT — Pasukan bola jaring kebangsaan Brunei Darussalam berjaya mencatat kemenangan pertama mereka dalam Kejohanan Bola Jaring Asia ke-13 selepas menewaskan Chinese Taipei dengan keputusan 66-20 di Stadium Tertutup Koramangala, Bangalore, India, semalam.

    Kemenangan ini memberi suntikan moral kepada pasukan kebangsaan yang dikenali sebagai Royal Bees selepas memulakan kempen dengan dua kekalahan menentang Thailand dan Hong Kong. Kedua-dua pasukan jelas berusaha untuk memulakan kempen mereka dengan baik, namun Royal Bees berjaya menguasai perlawanan, mendahului 17-6 pada suku pertama.

    Pemain penyerang Brunei, Nur Hafizah Sidek, mempamerkan prestasi cemerlang, manakala pasukan Chinese Taipei bergelut dengan ketepatan serangan mereka. Pasukan negara memulakan perlawanan dengan agresif, mendahului 8-2, sementara pasukan lawan terlepas beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

    Pada suku kedua, Brunei meneruskan ketajaman mereka, manakala Chinese Taipei terus dihantui kegagalan menyempurnakan peluang. Beberapa siri percubaan gagal daripada Chinese Taipei membuka ruang kepada pasukan negara untuk melakukan serangan balas pantas dan menambah jaringan.

    Antara aksi para pemain pada kejohanan tersebut. – GAMBAR SERAHAN PERSATUAN BOLA JARING INDIA

    Brunei menutup suku kedua dengan kedudukan 33-9 selepas satu pintasan bijak oleh pemain pertahanan, Eileen Koh, yang disudahi dengan jaringan oleh Nur Hafizah.

    Ketua jurulatih kebangsaan, Thilaka Jinadasa, melahirkan rasa puas hati dengan prestasi pasukannya. “Kami menghadapi dua perlawanan yang sukar, tetapi para pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi setiap suku masa,” katanya.

    Jinadasa, yang pernah membawa Sri Lanka menjuarai kejohanan Asia pada 2018, turut menekankan bahawa pasukan perlu mengekalkan strategi dan rentak permainan untuk mencapai kejayaan seterusnya.

    Sementara itu, Nur Hafizah menambah, “Kami memulakan perlawanan agak perlahan menentang Hong Kong, tetapi kami berjaya memperbaiki prestasi dan beraksi lebih baik pada suku keempat.”

    Beliau juga menekankan kepentingan mengekalkan semangat pasukan di dalam gelanggang sebagai faktor penting untuk kejayaan mereka.

    Brunei kini bersaing dalam Kumpulan ‘B’ bersama pasukan seperti Singapura, Iraq dan Bahrain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda