Brunei catat satu lagi kematian COVID-19

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Kementerian Kesihatan telah memaklumkan bahawa satu lagi kes yang telah disahkan positif COVID-19 di Negara Brunei Darussalam telah meninggal dunia, pada hari ini.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar telah mengumumkannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan pada hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

“Kes tersebut ialah seorang lelaki berumur 53 tahun yang telah mengalami masalah paru-paru setelah dijangkiti COVID-19 dan telah menerima rawatan di Unit Rawatan Intensif,” jelas Yang Berhormat Dato.

Dengan kematian kes tersebut, kini Negara Brunei Darussalam mencatatkan jumlah keseluruhan kes kematian seramai 51 orang yang disebabkan oleh COVID-19.

Di kesempatan itu, Yang Berhormat Dato mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga kes berkenaan.

“Semoga keluarga mendiang diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi pemergiannya,” tambahnya.