Monday, March 31, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei, China catat kerjasama positif pelbagai bidang

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China menikmati sejarah persahabatan yang panjang dan sejak terjalinnya hubungan diplomatik lebih 30 tahun lalu, kedua-dua buah negara terus mendalami kepercayaan politik bersama, menyelaraskan strategi pembangunan secara aktif serta mencatat hasil positif dalam kerjasama pelbagai bidang.

    Pada masa yang sama, China dan Brunei juga berjaya mengekalkan kerjasama yang baik dalam hal ehwal serantau dan antarabangsa serta telah memberikan sumbangan positif kepada keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran serantau.

    Perkara itu dijelaskan oleh Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo semasa taklimat bersama media yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin.

    Beliau seterusnya menyatakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat mengadakan lawatan negara serta menghadiri Majlis Pembukaan Sukan Musim Sejuk Asia ke-9 di Harbin, Republik Rakyat China pada Februari lalu di mana pemimpin kedua-dua buah negara amat teruja dengan momentum pembangunan peringkat tinggi hubungan China-Brunei selain mencapai konsensus penting dalam memajukan hubungan dua hala ke arah masa depan sebuah komuniti China-Brunei bersama serta menyuntik dorongan dalam perkembangan hubungan China-Brunei.

    Dalam taklimatnya, TYT Xiao Jianguo berkata kerjasama projek utama Belt and Road iaitu Hengyi Industries telah beroperasi pada tahap kualiti tinggi di mana ia menyumbang kira-kira 10 peratus KDNK tahunan Brunei dan memainkan peranan penting dalam mempelbagaikan ekonomi Brunei.

    TYT Xiao Jianguo semasa menyampaikan taklimat pada acara tersebut. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    TYT Xiao Jianguo bergambar ramai semasa acara itu. – GAMBAR OLEH JAMES KON

    Pada 2024, perdagangan dua hala di antara China dan Brunei telah mencecah AS$2.809 bilion dengan eksport Brunei ke China mencapai hampir AS$2.1 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 7.8 peratus tahun-ke-tahun.

    Beliau seterusnya menyatakan bahawa China telah menjadi sumber pelaburan asing kedua terbesar Brunei dan satu daripada tiga rakan kongsi perdagangan utama, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan kepentingan bersama.

    Sementara itu, penanaman percubaan padi hibrid China di Brunei telah menyaksikan hasil tuaian yang luar biasa dan Projek Konsultan Pakar Kanan Padi Hibrid berjaya dilaksanakan di mana ia menyumbang kepada sekuriti makanan Brunei.

    Manakala produk akuatik Brunei termasuk udang galah telah memasuki pasaran China di mana ia menjadi pilihan bagi pengguna China, jelas TYT Xiao Jianguo.

    Selain itu, beliau menyatakan a pertukaran orang-ke-orang dalam pendidikan, kebudayaan dan kerjasama bandar raya-ke-bandar raya telah berkembang lebih kerap yang memupuk persahabatan dan kefahaman bersama di antara warga kedua-dua buah negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda