Brunei-China tandatangani protokol eksport

BEIJING, 17 DIS – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China, semalam, telah menandatangani Protokol mengenai Keperluan Phytosanitary bagi Eksport Tembikai Segar dari Brunei Darussalam ke China.

Majlis penandatanganan protokol bagi buah tembikai wangi (muskmelon) untuk tujuan eksport ke Republik Rakyat China itu telah diadakan di Xinhui Jinjiang Hotel, di sini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KSSUP, di sini, hari ini, menandatangani bagi pihak kerajaan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong manakala itu, kerajaan Republik Rakyat China telah diwakili oleh Timbalan Menteri Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China, Dr Zhang Jiwen.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Pehin Orang Kaya Seri Pahlawan Kolonel (B) Dato Paduka Haji Abdu’r Rahmani bin Dato Paduka Haji Basir serta pegawai-pegawai kanan dari KSSUP dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Negara Brunei Darussalam.

Majlis penandatanganan protokol berkenaan diadakan bersempena lawatan kerja Yang Berhormat Dato ke Republik Rakyat China selama tiga hari bermula kelmarin hingga esok, dan seterusnya bagi mengadakan mesyuarat dua hala bersama timbalan menteri pentadbiran am kastam Republik Rakyat China untuk membincangkan mengenai mendapatkan protokol bagi eksport produk pertanian seperti buah-buahan dan produk daging serta produk akuakultur perikanan dari Negara Brunei Darussalam supaya dapat diterima dan dibenarkan untuk dieksport ke Republik Rakyat China.

Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan timbalan menteri pentadbiran am kastam Republik Rakyat China menandatangani protokol eksport tembikai segar di Hotel Xinhui Jinjiang, kelmarin. – Gambar serahan KSSUP

Dengan adanya kebenaran dan penerimaan daripada Republik Rakyat China untuk Negara Brunei Darussalam mengeksport produk-produk ini nanti, maka ia akan dapat memberikan impak positif serta signifikan kepada industri buah-buahan seperti tembikai wangi, industri ternakan dan akuakultur di negara bagi menembusi akses kepada pasaran di Republik Rakyat China.

Ini akan dapat menyumbang kepada peningkatan hasil pertanian, ternakan dan perikanan yang seterusnya akan dapat meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ia juga akan memberikan impak langsung kepada pengusaha-pengusaha tempatan yang mengusahakan industri ini, di mana keluaran buah tembikai wangi daripada Syarikat Gropoint dijangka akan meningkat daripada 600 tan metrik setahun kepada 1,200 tan metrik setahun.

Manakala itu, keluaran eksport produk da-ging dari Syarikat PDS Sdn Bhd yang dianggarkan sebanyak 1,300 tan metrik setahun dijangka akan meningkat berganda pada tahun berikutnya, dan keluaran produk akuakultur daripada syarikat-syarikat akuakultur juga dijangka akan meningkat daripada 16,000 tan metrik setahun kepada 20,000 tan metrik setahun.

Menurut kenyataan, semasa berada di Beijing, Yang Berhormat Menteri Sumber- sumber Utama dan Pelancongan berserta rombongan juga berkesempatan mengadakan lawatan ke Kementerian Hal Ehwal Pertanian dan Luar Bandar (MARA), Republik Rakyat China, hari ini.

Semasa lawatan tersebut, Yang Berhormat Dato juga telah mengadakan mesyuarat dua hala dengan Timbalan Menteri bagi Kementerian Hal Ehwal Pertanian dan Luar Bandar, Yu Xinrong.

Antara perkara-perkara yang dibincangkan adalah mengenai bidang-bidang kerjasama yang berpotensi untuk diterokai antara Negara Brunei Darussalam dengan Republik Rakyat China.

Selain mengadakan mesyuarat-mesyuarat dua hala dengan pihak-pihak berkepentingan, Yang Berhormat Dato dan rombongan juga berkesempatan mengadakan lawatan-lawatan kerja ke beberapa agensi lain antaranya Chunbo, J.D.com, National Experiment Station for Precision Agriculture and On Site Display of Intelligent Equipment Laboratories.