Monday, December 23, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei cipta sejarah di Kejohanan Backyard Ultra

    BELAIT, 22 OKT – Brunei Darussalam mencatatkan penyertaan bersejarah dalam Kejohanan Backyard Ultra Dunia 2024, yang buat pertama kalinya menyaksikan peserta negara mengambil bahagian dalam acara larian ultra bertaraf antarabangsa.

    Kejohanan tersebut dianjurkan bersama oleh Passion Ku dan Kelab Larian Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC RC), dengan pertandingan berlangsung serentak di 64 negara, baru-baru ini.

    Seramai 15 pelari ultra dari Brunei telah terpilih berdasarkan pencapaian terdahulu mereka dalam acara Backyard sebelum ini.

    Kejohanan bermula tepat pada jam 8 malam di BSRC, Panaga Seria, dengan setiap peserta menghadapi cabaran unik iaitu berlari sejauh 6,706 meter setiap jam dan perlu kembali ke titik permulaan dalam masa yang ditetapkan, di mana peserta yang gagal menepati masa akan disingkirkan.

    Kejohanan tersebut turut menyaksikan Ajmal Azman mencipta nama sebagai peserta terakhir bertahan apabila berjaya melengkapkan 18 pusingan, dengan jarak keseluruhan 120.708 kilometer dalam tempoh 18 jam. Manakala Jennyfer Townsend turut memainkan peranan penting sebagai the assist, melengkapkan 17 pusingan dengan jarak 114.002 kilometer.

    Pasukan negara berjaya mengumpul 184 mata, sekali gus menduduki tempat ke-56 daripada 64 negara yang bertanding, menunjukkan semangat dan daya tahan yang tinggi dalam menghadapi cabaran tersebut.

    Kejohanan itu bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, malah mempamerkan semangat juang peserta yang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

    Para peserta yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut bergambar ramai. – GAMBAR SERAHAN BSRC RC
    Para peserta semasa memulakan acara larian. – GAMBAR SERAHAN BSRC RC

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda