BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Brunei Darussalam (AITI) telah melancarkan Brunei CyberShop Fest 2021 menerusi eKadaiBrunei.bn, direktori e-dagang di mana vendor tempatan menawarkan diskaun-diskaun dan promosi menarik bagi produk dan perkhidmatan mereka bermula esok hingga penghujung Februari depan.
Menurut kenyataan yang diberikan, eKadaiBrunei.bn adalah inisiatif oleh AITI untuk menyokong pengusaha-pengusaha e-dagang dan menggalakkan perniagaan tempatan menyertai platform membeli-belah dalam talian untuk mengembangkan lagi jangkauan pelanggan mereka.
Inisiatif berkenaan adalah respons yang tepat pada masanya dalam membantu memudahkan aktiviti ekonomi antara perniagaan dan pelanggan semasa pandemik COVID-19, jelas AITI lagi dalam kenyataan berkenaan.
Pada tahun ini, tambah kenyataan, CyberShop Fest 2021 akan disertai oleh 13 vendor e-dagang iaitu AV Electronics, Beaute Pratique, Bruecom, Buycour, Community for Brunei, DSTINCOMM, FS Apothecary, GoMamam, HeyDomo, Kitsu Models Hobby Shop, Letsbuy, Nimanja dan Weelago.
Vendor-vendor berkenaan akan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan daripada barangan runcit, perabot, produk kosmetik, pakaian, perkakas dapur dan sebagainya.