Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 1 Ogos – Brunei Fertilizer Industries Sdn Bhd (BFI) dan thyssenkrupp Industrial Solution AG (tkIS) telah mengadakan majlis pecah tanah bagi pembinaan Kompleks Kilang Baja Ammonia dan Urea yang pertama di Negara Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Tapak Perindustrian Sungai Liang (SPARK), di sini, hari ini dan menyempurnakan upacara pecah tanah ialah Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, yang juga ahli Lembaga Pengarah BFI.
Juga hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan, Dato Seri Paduka Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Fertilizer dan Syngas Technologies Business Unit tkIS AG Ralf Richmann; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Persekutuan Jerman di Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Peter Hermann Wolff, pegawai kanan kerajaan dan eksekutif BFI dan tkIS.
Ralf Richmann dalam ucapannya melahirkan rasa gembira kerana projek tersebut merupakan satu kejayaan penting dalam mengeratkan hubungan perkongsian di antara BFI dan tkIS.
Menurutnya, sebagai kontraktor yang terpilih dan dilantik untuk membangunkan projek berkenaan, ia bukan sahaja dapat membantu mengukuhkan kedudukan tkIS di rantau Asia Pasifik tetapi ia juga mencerminkan komitment berterusan tkIS untuk menyokong transformasi negara ini dalam usaha mempelbagaikan ekonominya.


Beliau juga menyatakan kilang tersebut mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 2,200 tan metrik sehari baja ammonia dan 3,900 tan metrik sehari urea butir dan dijangka siap pada tahun 2021.
Projek tersebut tambahnya akan menggunakan sebahagian besar rizab gas asli di Brunei sebagai bahan mentah untuk menghasilkan baja nitrogen berkualiti tinggi terutama untuk pasaran eksport.
BFI telah melantik tkIS sebagai kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan kilang berkenaan.
Sebagai salah sebuah negara pengeluar dan pengeksport gas cecair asli di dunia, projek ini akan membolehkan gas asli disalurkan untuk pembangunan aktiviti hiliran dalam sektor minyak dan gas.