Oleh Azlan Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Negara Brunei Darussalam merupakan antara 11 lagi negara yang dibenarkan untuk memasuki Kesatuan Eropah (EU) dan Negara Anggota Kawasan Schengen tanpa sekatan selepas Majlis EU bersetuju untuk menambah negara-negara berkenaan ke dalam senarai negara-negara yang selamat untuk memasuki EU.
Menurut laporan SchengenVisaInfo.com, keputusan tersebut dikeluarkan pada 30 Jun lalu semasa pertemuan duta EU, yang menilai senarai negara ketiga yang selamat setiap dua minggu.
Negara Brunei Darussalam mencatatkan jumlah kes COVID-19 yang rendah, di mana setakat 3 Julai lalu, jumlah keseluruhan kes adalah 262 dan kes tempatan terakhir dilaporkan pada 6 Mei 2020 atau 423 hari yang lalu. Selain Negara Brunei Darussalam, negara lain yang diberi kebenaran untuk memasuki EU ialah Armenia, Azerbaijan, Bosnia dan Herzegovina, Kanada, Jordan, Kosovo, Moldova, Montenegro, Qatar, dan Arab Saudi.
Setakat ini, antara negara yang telahpun diberikan kebenaran ialah Albania, Australia, Israel, Jepun, Lubnan, New Zealand, Macedonia Utara, Rwanda, Serbia, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, dan Amerika Syarikat (AS).
Pada penilaian terakhir senarai tersebut, Majlis EU telah memasukan AS, Albania, Lubnan, Macedonia Utara, Serbia, Taiwan, dan wilayah pentadbiran China di Hong Kong dan Macau ke dalam senarai.
Senarai negara tersebut untuk memasuki EU mula berkuat kuasa pada 18 Jun, dan negara-negara anggota secara beransur-ansur membuka kembali sempadan untuk majoriti negara-negara tersebut ketika ini.
Langkah untuk menambah bilangan negara-negara berkenaan ke dalam senarai adalah sebahagian daripada strategi pembukaan semula EU, di mana blok tersebut berhasrat untuk membuka semula sempadan secara beransur-ansur untuk pelancong dari negara ketiga dengan jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan rendah.
Walaupun EU mencadangkan negara-negara anggota untuk membuka kembali sempadan mereka kepada penduduk negara-negara tersebut tanpa larangan sepenuhnya, bagaimanapun negara-negara anggota masih boleh mengenakan sekatan seperti ujian koronavirus atau pengasingan diri.
Di samping itu, negara-negara anggota juga tidak terikat secara sah dalam memberikan kebenaran kemasukan pelancong daripada senarai yang dibenarkan oleh Majlis EU, di mana mereka diberi hak untuk memilih berdasarkan senarai mereka sendiri.