Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menyaksikan perlawanan antara Pasukan Brunei DPMM FC dan Warriors FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, semalam.
Berangkat sama menyaksikan perlawanan berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan anakanda Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah.
Dalam perlawanan tersebut, Adi Said muncul sebagai wira Pasukan Brunei DPMM FC apabila pasukan tuan rumah membenam harapan Warriors FC dengan jaringan 2-1.
Warriors FC membuka tirai jaringan pada minit ke-26 menerusi Ignatius Ang namun pada babak kedua, Pasukan Brunei DPMM FC bangkit pada minit ke-57 hasil jaringan Mojtaba Esmaeilzadeh.
Pada minit ke-66 perlawanan, skuad ‘Gegar-gegar’ berada di depan menerusi jaringan Adi Said dan jaringan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan.



Dengan kemenangan itu, Pasukan Brunei DPMM FC naik ke tangga kelima Liga Perdana Singapura. Pasukan Brunei DPMM FC akan berdepan Tampines Rovers dalam perlawanan seterusnya pada 4 Julai nanti.
Sementara itu, menurut Ketua Jurulatih Pasukan Brunei DPMM FC, Rene Weber menegaskan beliau tidak berpuas hati dengan persembahan mereka (Brunei DPMM FC) pada separuh masa pertama namun berbesar hati dengan kemenangan hasil semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh para pemain.
“Kami bermain sebagai satu pasukan begitu juga di bahagian pertahanan dan saya pasti para pemain berjuang untuk mendapatkan satu mata dan apa yang perlu para pemain jangan membiarkan pihak lawan untuk menguasai perlawanan, sebaliknya mereka perlu berjuang dalam perlawanan tersebut, itulah cara permainan sepatutnya,” ujarnya.
Menurut Weber lagi, “Saya suka melihat permainan sehingga membolehkan kita kembali bersemangat meskipun terpaksa bermain 10 perlawanan secara berterusan di tempat lawan namun kini kita bermain di tempat sendiri dan kita perlu mempersiapkan diri dan pasukan kerana pasukan lain turut menunjukkan peningkatan.
“Sasaran kita adalah menghuni kedudukan empat teratas liga dan ia boleh dicapai,” menurut Weber semasa sidang media selepas perlawanan semalam.