KUALA LUMPUR, 21 MEI – Brunei DPMM FC mengesahkan penyertaan dalam Liga Super Malaysia 2025-2026 walaupun Liga Bolasepak Malaysia masih membisu mengenai jumlah sebenar pasukan yang akan beraksi musim depan.
Pengumuman itu dibuat kelab berkenaan dalam satu kenyataan selepas mengikat pemain pertahanan Penang FC, Mohammad Fairuz Zakaria.
DPMM juga memaklumkan pemain dari Brunei dan Malaysia akan dikategorikan sebagai pemain tempatan untuk kelab berkenaan yang disifatkan sebagai berita menggembirakan.
“Fairuz Zakaria merupakan pemain Malaysia pertama menyarung jersi DPMM. Berusia 27 tahun, pemain itu telah beraksi secara tetap dengan Penang FC musim lepas.
“DPMM berharap beliau akan tampil cemerlang bersama pasukan ini pada musim depan,” menurut kenyataan itu di laman web rasmi kelab berkenaan.
Jumaat lepas, badan bebas First Instance Body (FIB) mengumumkan proses semakan dokumen untuk permohonan Lesen Kebangsaan bagi saingan Liga Super 2025-2026 masih berlangsung, manakala terdapat laporan media yang mendakwa beberapa pasukan dijangka menarik diri.
DPMM, kelab bola sepak terkemuka di Brunei dan satu-satunya pasukan bola sepak profesional negara itu sedang melengkapkan baki perlawanan dalam saingan Liga Perdana Singapura. – Bernama
