Brunei Film Blitz 2018 labuh tirai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Wan Amirul Azizan bin Haji Ibrahim, Pengarah Filem Pendek Yang Hilang Akan Berganti telah menerima anugerah utama The 96 Hour Blitz berupa kursus Diploma Skrin dan Media di Mahakarya Institute of the Arts Asia tajaan khas Progresif Cellular Sdn Bhd.

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian anugerah tersebut ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali turut menyempurnakan penyampaian Anugera Juri kepada pengarah filem Mr Rook, Yit Chuan Lee dan Anugerah Special Mention tajaan Interhouse Company kepada kumpulan pembuat filem Candas.

Majlis Penutup Brunei Film Blitz 2018 dan penyampaian anugerah yang diadakan di Mahakarya Institute of the Arts Asia, Bangunan Baitul Athirah, Batu Satu turut dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nicola Rosenblum dan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan ke Negara Brunei Darussalam, Ahmed Ali Sirohey serta para jemputan khas yang lain dan penaja Brunei Film Blitz.

Majlis malam tadi itu menyaksikan filem-filem yang telah disenarai pendek sepanjang The 96 Hour Blitz yang terdiri daripada filem Mr Rook, Candas Sisters, Yang Hilang Akan Berganti, Story of Anne, Room 210EQ dan Candas.

Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan semasa menyampaikan hadiah kepada Wan Amirul Azizan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bergambar ramai bersama para pemenang.

Brunei Film Blitz tahun ini telahpun menerima 20 penyertaan yang terdiri daripada 800 orang peserta sepanjang tempoh program tiga minggu tersebut.

Wan Amirul Azizan, 29, semasa ditemui pihak media melahirkan perasaan gembira dan tidak menyangka apabila filem beliau telah dipilih untuk mendapatkan anugerah utama bagi cabaran The 96 Hour Blitz. Beliau menjelaskan lagi ini adalah merupakan anugerah pertama yang pernah beliau dapatkan.

Menurutnya lagi, semasa para peserta harus menyelitkan ‘Candas’, peralatan dapur yang digunakan untuk menikmati ambuyat, sebagai ‘bahan rahsia’ yang mesti diketengahkan dalam filem-filem mereka, beliau menghabiskan masa sepanjang hari untuk mendapatkan idea-idea sendiri dan kemudian mendapatkan sokongan sepenuhnya daripada keluarga beliau sendiri untuk menjadi pelakon dalam filem beliau.

Beliau juga menyeru kepada para belia yang berkemahiran dan berminat terhadap bidang fotografi dan juga pembuatan filem ini untuk mengambil peluang seumpama ini bagi meningkatkan lagi kemahiran mereka dan menambah ilmu pengetahuan.

Beliau juga mempunyai perusahan sendiri dengan memberikan perkhidmatan photoshoot dan videografi perkahwinan selama dua tahun sehingga sekarang.