Saturday, March 15, 2025
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei Film Blitz labuh tirai

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Brunei Film Blitz (BFB)yang telah mencapai tahun ketiga penganjurannya dalam usaha bagi melahirkan serta meraikan para pakar dan para pembuat filem di Negara Brunei Darussalam telah menutup tirainya pada majlis BFB Gala Awards malam kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada majlis yang berlangsung di Mahakarya Institute of the Arts Asia di Batu Satu tersebut ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.

    Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh pengarah pesta berkenaan, Dayang Siti Kamaluddin yang antara lain menjelaskan bahawa tahun ini telah memperlihatkan peningkatan dalam pembikinan filem berbanding sebelumnya yang merupakan suatu perkara yang baik dan membanggakan.

    Kali ini sebanyak 23 buah filem pendek telah dihasilkan sementara itu sebanyak 26 buah filem antarabangsa dari lebih 13 buah negara seluruh dunia telah pun ditayangkan di sepanjang BFB 2019.

    Majlis pada malam tersebut turut diisikan dengan penayangan filem pendek yang berjaya disenarai pendekkan dalam kategori terbuka, kategori filem Islamik dan bagi kategori 96 Hour Blitz.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bergambar ramai bersama para pemenang pada majlis BFB Gala Awards baru-baru ini. – Gambar oleh Fadhil Yunus

    Dalam kategori terbuka, Filem pendek berjudul Ter yang diarahkan oleh Awang Muhammad Khairul Izzuddin bin Idris telah berjaya memenangi kategori berkenaan dan membawa pulang hadiah berupa perjalanan pergi dan balik ke Seoul, Korea.

    Sementara itu, penerima kategori filem pendek Islamik terbaik dianugerahkan kepada Mereka, filem arahan Awang Muhammad Aqil bin Faiz yang memenangi hadiah dua tiket penerbangan ke Osaka, Jepun.

    Manakala Amirul Jazli bin Jali dengan filemnya berjudul About Jack pula telah dinobatkan sebagai pemenang bagi 96 Hour Blitz dengan hadiah kemenangan berupa dua tiket penerbangan ke Gold Coast, Australia.

    Di samping itu, majlis turut menyaksikan penganugerahan dua Biasiswa Diploma dalam Skrin dan Media daripada Unified National Networks (UNN) kepada penerima Anugerah Istimewa Juri iaitu Syafi Halim dengan filem pendeknya bertajuk Simpati dan Syafi ‘Aizzuddeen melalui penyertaan filemnya yang berjudul Jika.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali pada majlis itu juga telah menyampaikan hadiah cenderamata penghargaan kepada para rakan kongsi penganjuran BFB.

    BFB yang diadakan bersempena Pesta Disember Brunei merupakan antara acara tahunan yang turut dinanti-nanti oleh para pakar dan pembuat filem tempatan serta para pelajar filem pada setiap tahun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda