Oleh Siti Nur Wasimah S.& Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Dis – Dengan sokongan daripada lndofood dan Kedutaan Besar Republik Indonesia, Brunei Film Blitz menayangkan filem karya Kamila Andini, Sekala Niskala yang telah memenangi anugerah utama pada Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-68 2018.
Filem lain yang turut ditayangkan pada acara yang berlangsung di Mahakarya Institute of the Arts Asia, Bangunan Baitul Athirah, Batu Satu, semalam, termasuk Iqro: Petualangan Meraih Bintang, Surau dan Silek, dan Nyai.
Hadir sama menyaksikan tayangan itu ialah Timbalan Duta Besar Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Arko Hananto Budiadi.
Menurut penganjur, industri filem Indonesia kini merupakan subsektor ekonomi kreatif negara berkenaan yang pesat berkembang. Di samping sokongan hangat daripada para penonton di sana, pawagam bebas Indonesia yang berkualiti juga telah mendapat perhatian dan pengiktirafan antarabangsa dalam festival-festival filem di seluruh dunia.
Tayangan filem pada acara Brunei Film Blitz bertujuan untuk menunjukkan kepada penonton bagaimana budaya, identiti dan tradisi disusun ke dalam pawagam bebas yang menguatkan identiti setiap tayangan.
Selain itu, dengan penayangan filem-filem Indonesia tersebut, ia menandakan berakhirnya tayangan antarabangsa selama dua minggu pada acara Brunei Film Blitz.
Sementara itu, pengarah Festival Brunei Film Blitz, Dayang Siti Kamaluddin ketika ditemui mengongsikan kegembiraannya terhadap kandungan yang dihasilkan bagi acara 96 Hour Blitz.
“Saya sangat teruja melihat kandungan yang diisi pada acara 96 Hours Blitz. Kami telah mengisi dua minggu yang indah dengan meneroka pelbagai filem dan mengenal pasti identiti tayangan.
“Pada sesi kelas-kelas utama (Master Classes) bersama Mark Shepherd, sebelum ini telah memberi penekanan yang besar terhadap perkembangan cerita dan watak. Manakala pada bengkel-bengkel dengan tetamu pembikin filem, kami belajar mengenai hala tuju (direction), penyuntingan, dan tetap percaya diri,” kata Dayang Siti Kamaluddin.
“Saya harap para peserta dapat mengadaptasi semua yang mereka pelajari ke dalam filem pendek mereka pada 96 Hours Blitz,” tambahnya.
Pada acara itu, para peserta mempunyai 96 jam untuk menghasilkan filem pendek berdurasi dari 3 sehingga 6 minit dan bersaingan untuk merebut hadiah utama berupa Biasiswa Diploma di Mahakarya Institue of the Arts Asia selama dua tahun.