Sunday, April 13, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei hantar bantuan kemanusiaan ke Myanmar

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 APRIL – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah menghantar bantuan kemanusiaan dalam bentuk barangan keperluan asasi ke Republik Kesatuan Myanmar, dengan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), hari ini.

    Penghantaran bantuan kemanusiaan itu adalah berikutan kejadian gempa bumi yang telah melanda Republik Kesatuan Myanmar pada 28 Mac lalu.

    Sehubungan itu, acara penyerahan bantuan kemanusiaan telah diadakan di Pangkalan Tentera Udara Rimba, hari ini.

    Acara tersebut dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan Kuasausaha Sementara di Kedutaan Besar Republik Kesatuan Myanmar di Bandar Seri Begawan, Khin Sandar.

    Turut hadir ialah para pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) serta Kedutaan Besar Republik Kesatuan Myanmar di Bandar Seri Begawan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan hadir semasa acara penyerahan bantuan kemanusiaan ke Republik Kesatuan Myanmar, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN HAL EHWAL LUAR NEGERI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda