Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Pada hari kedua persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-20, hari ini, Yang Berhormat Dr Haji Mahali bin Haji Momin sangat bersetuju dengan nasihat dan saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya negara hendaklah keluar daripada kepompong sendiri dan zon selesa.
Dalam hubungan itu, beliau berkata, terdapat pelbagai peluang daripada kluster industri yang patut diikuti (dari luar negara) dengan lebih mendalam terutamanya dalam sektor-sektor seperti farmaseutikal halal, perbankan Islam dan takaful.
Menurut ramalan pasaran dari pelbagai syarikat konsultasi perniagaan utama, beliau mengongsikan, industri farmaseutikal halal dijangka mencapai nilai AS$105 bilion pada tahun ini, di samping itu, nilai pasaran secara global akan melebihi AS$1 trilion.
Dalam aspek perbankan Islam dan takaful pula, di peringkat global dijangka mencecah AS$4.94 trilion pada 2025. Pasaran Asia Tenggara sebagai salah satu peneraju utama mewakili hampir seperempat daripada jumlah aset kewangan Islam global.
Dari segi pelancongan, yang merupakan eksport tidak ketara, bagi menarik lebih banyak pelancong di negara ini adalah penting melipatgandakan usaha untuk memanfaat kekuatan negara yang dimiliki seperti kestabilan kerajaan, suasana yang selamat dan aman.
“Kita juga seterusnya boleh memanfaatkan kelebihan dalam kalangan penduduk yang boleh menguasai bahasa Inggeris, Mandarin dan Arab. Ini boleh membuka peluang besar untuk menarik pelancong-pelancong seperti dari Timur Tengah, China, dan negara berpendapatan tinggi yang lain yang menggunakan bahasa tersebut.
“Di samping itu juga, kita juga mempunyai kekayaan dari segi kecantikan alam semula jadi untuk meningkatkan pelancongan terutama sekali bagi pencinta alam,” tambahnya.
Yang Berhormat Dr Haji Mahali turut menekankan bahawa dengan menembusi pasaran-pasaran berkenaan dengan menggunakan label Brunei Halal, ia diharap akan memberikan sumbangan yang signifikan kepada pendapatan negara.
Oleh itu, adalah penting untuk menguatkan usaha dalam mengambil peluang-peluang ini. Kejayaan dalam semua bidang ini akan membuka peluang pekerjaan yang luas bagi rakyat dan penduduk tempatan.
“Dengan memperkuat promosi dengan faktor-faktor ini, kita dapat memperluaskan tapak pelancongan negara dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh,” ujar beliau.
Sementara itu, Yang Berhormat Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin pula menyentuh titah Baginda Sultan mengenai peranan MMN sebagai medan penting dalam membincangkan perkara strategik yang memberikan manfaat kepada rakyat di negara ini.