Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam hari ini telah menjadi tuan rumah Persidangan Kesihatan Awam ke-22 Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Singapura-Thailand (BIMST) yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis perasmian persidangan di Hotel Antarabangsa Rizqun pagi tadi ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif.
Persidangan berkenaan telah menggumpulkan para pegawai kesihatan kanan dari lima buah negara ASEAN yang diadakan setiap tahun bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan kesihatan awam sebagai fokus perbincangan utama.
Pada persidangan kali ini yang membawa tema Remembering the Past, Looking to the Future telah menyaksikan kehadiran seramai 18 orang delegasi yang terdiri daripada para pegawai kanan di kementerian kesihatan daripada negara ahli.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, format persidangan telah berubah daripada hanya membincangkan penyelarasan serta penyeragaman prosedur kesihatan sempadan kepada landasan perkongsian amalan terbaik dan membincangkan promosi kesihatan serta pengawalan tembakau. Dr Haji Zulaidi dalam ucapan alu-aluannya pagi tadi antara lain menjelaskan bahawa penyakit tidak berjangkit merupakan salah satu isu terbesar yang dihadapi ketika ini.
“Setiap tahun, penyakit tidak berjangkit dianggarkan telah meragut sebanyak 17 juta nyawa golongan usia 70 tahun ke bawah di mana 8.5 juta terdiri daripada mereka yang tinggal di rantau Asia.
“Oleh itu selaku pakar kesihatan awam, semua ahli BIMST bertanggungjawab dalam mencari langkah dan jalan penyelesaian bagi menghindari isu berkenaan berlanjutan,” jelas Dr Haji Zulaidi lagi.

