Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei hoskan ASG14 2025

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah bagi Sukan Sekolah-sekolah ASEAN ke-14 (ASG14), 2025 yang akan berlangsung pada 20 hingga 28 November ini.

    Ini merupakan kali kedua Negara Brunei Darussalam diberi penghormatan menjadi tuan rumah selepas edisi terakhir di negara ini pada 2015.

    Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Kejohanan ASG14, 2025 semasa Sidang Media ASG14 dan Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang-pemenang Pertandingan Mereka Cipta Logo, Maskot dan Lagu Rasmi ASG14, 2025, yang berlangsung di Dewan Utama, Kementerian Pendidikan, hari ini.

    Turut hadir, Pemangku Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat) Kementerian Pendidikan, Pengiran Dr Mohamad Iskandar bin Pengiran Haji Petra, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai dari kementerian berkenaan.

    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati menerangkan ASG merupakan temasya sukan tahunan di bawah naungan Majlis Sukan Sekolah-sekolah ASEAN (ASSC) di mana kejohanan berkenaan dibukakan kepada atlet pelajar berusia 18 tahun ke bawah.

    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati bergambar ramai bersama para pemenang pertandingan mereka cipta logo, maskot dan lagu rasmi ASG14. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati semasa Sidang Media ASG14 yang berlangsung di Dewan Utama, Kementerian Pendidikan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Antara yang menghadiri majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Kejohanan ASG14, ulasnya akan disertai oleh sebanyak 10 buah negara anggota ASEAN terdiri daripada Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Republik Demokratik Rakyat Lao, Malaysia, Republik Filipina, Republik Singapura, Thailand, Kemboja, Myanmar dan Vietnam di mana ia akan mempertandingkan lapan acara sukan iaitu olahraga, badminton, bola keranjang, renang, bola jaring, pencak silat, sepak takraw dan wusyu serta menawarkan sebanyak 340 pingat iaitu 106 pingat emas, 106 perak dan 128 gangsa dengan penyertaan seramai 1,055 orang atlet-pelajar.

    “ASG adalah satu kejohanan sukan untuk memberi peluang kepada atlet muda bukan sahaja untuk mengasah bakat dan kemampuan mereka, tetapi juga untuk meraih pengalaman berharga di pentas serantau.”

    Beliau turut menerangkan melalui penganjuran ASG, ASSC menekankan tiga matlamat utama iaitu menggalakkan perpaduan ASEAN dalam kalangan belia melalui sukan sekolah, memberi peluang kepada atlet dalam kalangan pelajar sekolah sebagai penanda aras bakat sukan mereka di rantau ASEAN serta memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi dan terlibat dalam pertukaran budaya di ASEAN.

    Beliau menambah, seiring dengan semangat kejohanan, motto rasmi ASG14 ialah Dream, Strive, Achieve, yang mengajak mereka untuk mencapai impian melalui usaha yang tekun dan berdisiplin serta semangat juang dan kerja keras.

    “Kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan pertandingan, tetapi juga wadah untuk memupuk persahabatan, persefahaman dan perpaduan dalam kalangan belia ASEAN,” ujarnya. Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan mereka cipta logo, maskot dan lagu rasmi ASG14 yang disempurnakan oleh Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati.

    Pemenang bagi kategori mereka cipta logo ialah Dayang Nur Uzma Anati binti Haji Ismail, pelajar dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah; manakala pemenang bagi kategori mereka cipta maskot ialah Dayangku Rahimah Amani binti Pengiran Abdul Rahman, pelajar dari Sekolah Antarabangsa Jerudong dan pemenang bagi kategori mencipta lagu rasmi ASG14 ialah Haji Muhammad Nazreen Hazwan bin Haji Suani, seorang pegawai dari Kementerian Pendidikan.

    Temasya ASG14 akan diadakan pada 20 hingga 28 November ini, dengan penyertaan dari 10 buah negara akan berentap pada kejohanan itu nanti.

    Maklumat lanjut mengenai ASG14 dapat diperoleh melalui instagram rasmi ASG14 di @14thaseangames.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda